Kisah Impak

Azam Seorang Anak, Harapan Sebuah Keluarga

Putera Syafiq Danial Shamsul Khairi merupakan anak kepada asnaf Zakat Selangor dan menetap bersama keluarganya di Bangi Lama, Kajang. Beliau mempunyai tiga orang adik-beradik yang turut menerima manfaat bantuan pendidikan, bantuan kewangan bulanan serta bantuan makanan bulanan sejak 15 tahun yang lalu. Bantuan berterusan ini telah banyak meringankan beban keluarga dan menjadi sokongan penting dalam memastikan kelangsungan hidup serta pembelajaran anak-anak.

Selepas menamatkan pembelajaran, Putera Syafiq tidak mengambil masa yang lama untuk memulakan langkah mengubah nasib keluarga. Dengan keazaman yang tinggi, beliau berusaha mencari beberapa peluang pekerjaan, namun berdepan kegagalan. Walaupun begitu, beliau tidak berputus asa. Pada suatu hari, beliau dihubungi oleh seorang rakan yang memaklumkan tentang penyertaan dalam Program Pembangunan Inisiatif Kerjaya Asnaf di bawah Zakat Selangor. Maklumat tersebut menjadi sinar harapan yang dinantikan.

Keesokan harinya, Putera Syafiq hadir sendiri ke cawangan Zakat Selangor untuk mendapatkan maklumat lanjut. Alhamdulillah, beliau dibantu oleh pegawai yang berkaitan dan seterusnya ditawarkan untuk mengikuti kursus selama tiga hari dua malam. Penyertaan ini membuka ruang baharu buat beliau untuk membina keyakinan dan hala tuju kerjaya yang lebih jelas.

Sepanjang program tersebut, Putera Syafiq berpeluang bertemu ramai sahabat asnaf lain yang turut sama menyertai kursus. Mereka mengikuti sesi perkongsian ilmu, motivasi diri, serta saling memberi kata semangat untuk bangkit dan memperbaiki kehidupan keluarga masing-masing. Pengalaman ini memberi kekuatan emosi dan dorongan dalaman yang besar kepada . beliau.

Hasil daripada program ini menjadi pencetus semangat untuk beliau segera melangkah ke alam pekerjaan dengan lebih yakin dan tersusun, demi merealisasikan impian mengubah kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik. Beliau kini sedang mengorak langkah sebagai F&B Supervisor di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur.

Talian Zakat Selangor : 1-300-88-4343

Emel : maklumbalasaduan@zakatselangor.com.my

Hakcipta Terpelihara ©2026 Lembaga Zakat Selangor