SHAH ALAM, 13 November 2019 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan berita yang tersiar di Harian Metro bertajuk ‘Doakan Saya Cepat Sembuh’.

Menurut laporan akhbar, Muhammad Joharee Johari disahkan mempunyai masalah kesihatan berikutan jangkitan kuman pada injap jantungnya.

Prihatin dengan masalah yang menimpanya, LZS melalui Skuad Saidina Umar (SSU) segera menziarahi beliau di Hospital Serdang. Hasil siasatan mendapati, Muhammad Joharee kini telah berhenti kerja disebabkan cuti sakit yang berpanjangan.

Sehubungan itu LZS akan menyalurkan bantuan berdasarkan kepada syarat dan kelayakan, sekiranya beliau perlu menjalani sebarang pembedahan atau prosedur perubatan lain.

Kes beliau ini turut dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Serdang. Untuk makluman, LZS menyalurkan sumbangan zakat melalui Tabung Kebajikan Perubatan Hospital kepada 18 buah hospital dan institut perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Melalui tabung ini, pesakit beragama Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani di hospital boleh memohon bantuan melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital. Antara mereka yang layak memohon ini termasuklah pesakit yang mengalami penyakit kronik yang disahkan oleh pakar perubatan, di samping kes-kes kecemasan yang memerlukan bantuan segera.

KENYATAAN OLEH:

DATIN SETIA NORAJUN AINUN MOHD HASHIM

KETUA DIVISYEN KOMUNIKASI KORPORAT

LEMBAGA ZAKAT SELANGOR