SHAH ALAM, 20 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan RM600 kepada ketua keluarga fakir dan miskin termasuk bukan asnaf yang terjejas dengan bencana banjir di Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop “Pada masa ini, LZS sedang mengumpul maklumat ketua keluarga dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya meringankan beban mangsa terlibat.”

Tambahnya, sebanyak RM250,000 lagi diperuntukkan bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah-daerah yang menempatkan mangsa banjir. Sumbangan tersebut menggunakan dana pengurusan operasi amil sebagai tanda keprihatinan amil zakat terhadap mangsa banjir.

“LZS menyediakan 5,000 pek makanan bermasak sehari yang akan diagihkan kepada semua PPS di bawah koordinasi pejabat daerah dan bantuan tersebut akan diteruskan untuk tempoh lima hari. Semalam, penghantaran 5,000 pek pertama telah dilakukan dan dihantar ke Pejabat Daerah Klang yang kemudiannya diagihkan ke PPS terlibat.”

“Selain itu bagi memudahkan dan mempercepatkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir terjejas, sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk Tabung Kecemasan Banjir LZS. Bantuan ini akan ditambah berdasarkan keperluan semasa.”

Dalam perkembangan sama Saipolyazan memaklumkan, LZS akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan pasca banjir bagi membantu mangsa yang terlibat dengan banjir terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin serta institusi.

“Bagi asnaf fakir dan miskin yang mengalami kerosakan rumah boleh menyalurkan maklumat kepada penolong amil kariah agar bantuan baik pulih dapat disalurkan mengikut keperluan bergantung kepada syarat dan kelayakan.”

“LZS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut akan menyalurkan bantuan baik pulih seperti karpet, peralatan sistem audio dan sebagainya kepada masjid dan surau yang mengalami kerosakan sewaktu banjir.”

Tambahnya, maklumat terkini berkaitan bantuan banjir akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui media sosial rasmi LZS.