SHAH ALAM, 28 November 2017 – Lembaga Zakat Selangor memperuntukkan sebanyak RM28,267,931.88 kepada 49,773 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2018.

Bantuan persiapan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka. Ia diberikan bagi menampung kos pembelian kelengkapan dan yuran persekolahan. Bantuan ini melibatkan anak-anak asnaf di peringkat pra persekolahan sehinggalah ke peringkat sekolah menengah.

Melalui bantuan ini, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala pelajar sekolah menengah kebangsaan pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi pelajar prasekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, para pelajar turut menerima tiga pasang pakaian serta kelengkapan persekolahan yang bernilai RM230 bagi pelajar sekolah rendah kebangsaan, RM200 seorang bagi sekolah rendah agama dan RM275 bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan. 

DSC_3995

Kelengkapan persekolahan ini boleh didapati di Pasar Raya Sakan, Mydin dan Jakel yang terpilih di sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan. Selain itu, Zakat Selangor turut melantik Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) untuk menyediakan 35,000 pasang pakaian sekolah bagi menampung keperluan pelajar asnaf di tiga buah daerah iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. 

Selain itu, para pelajar berkenaan turut menerima bantuan tambahan berjumlah RM100 setiap seorang bagi menampung keperluan persekolahan lain.

Secara purata, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga. Bantuan ini diagihkan dalam dua kaedah sama ada melalui akaun bank ketua keluarga atau menggunakan kaedah V-Cash (Vaucher Tunai). 

Kaedah V-Cash diperkenalkan dalam pengagihan bantuan pendidikan tahun ini bertujuan memberi kemudahan kepada ketua keluarga yang tidak memiliki akaun bank untuk mengeluarkan wang bantuan zakat di mana-mana cawangan Bank Islam. Penerima bantuan hanya perlu menunjukkan bukti penerimaan pesanan khidmat ringkas (SMS) atau surat rasmi dari Zakat Selangor kepada  petugas di Bank Islam untuk membolehkan pengeluaran wang dilaksanakan. 

Majlis penyerahan bantuan di bawah Program Pembangunan Pendidikan ini bermula hari ini dan dijangka akan berakhir pada 19 Disember melibatkan 18 program di seluruh Selangor.