SHAH ALAM, 20 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan bagi membantu program Pemutihan Maahad Tahfiz melibatkan peruntukan agihan zakat di bawah insiatif Zakat Selangor Peduli (ZSP) sebanyak RM3,350,000.

Simbolik penyerahan bantuan ZSP bagi Program Pemutihan Maahad Tahfiz Selangor disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd Khambali@Hambali kepada Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Sumbangan ZSP tersebut disalurkan bagi membantu 350 buah maahad tahfiz bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos penyediaan dokumen Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta yuran-yuran berkaitan.

Melalui sumbangan ZSP ini, ia dapat meringankan beban pengusaha maahad tahfiz terlibat agar dapat beroperasi sebagaimana yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor.

Untuk makluman 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta di bawah ZSP bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan termasuk institusi, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan akibat penularan pandemik COVID-19.

Sebanyak 19 inisiatif bantuan ZSP disediakan yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.