SHAH ALAM, 14 Jun 2022 –  Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan dari Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) berjumlah RM50,000.00 pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Strategik TERAS yang diadakan di sini.

Bayaran zakat perniagaan itu diserahkan oleh Pengerusi TERAS, Dato’ Ibrahim Md. Yusof kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Ketika berucap Dato’ Ibrahim berkata, “TERAS akan terus mengorak langkah untuk membantu golongan asnaf terutama ketika pandemik COVID-19. Keuntungan yang diperoleh disalurkan semula kepada agensi berkaitan untuk manfaat golongan memerlukan.”

Dalam majlis sama, TERAS turut menyerahkan bayaran dividen kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang diwakili oleh Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir berjumlah RM192,186.00.

Untuk makluman, TERAS merupakan anak syarikat MAIS yang menguruskan pembangunan usahawan dan latihan keusahawanan kepada asnaf fakir dan miskin di Selangor di bawah seliaan LZS.