SHAH ALAM, 29 Mei 2019 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada tujuh syarikat korporat berjumlah RM9,865,803.55 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Taman Seri Muda di sini hari ini.
Tujuh syarikat korporat tersebut ialah PLUS Malaysia Berhad yang diwakili Pengarah Urusan, Datuk Azman Ismail menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM2,773,756.00, diikuti Bank Rakyat yang diwakili Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan, Abdul Razak Abu Bakar mengeluarkan zakat sebanyak RM2,753,211.00 dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Hishammudin Hasan menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,250,000.00
Sementara itu, Jakel Trading Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel menunaikan zakat berjumlah RM1,234,586.55, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pharmaniaga, Dato’ Wan Hashimi Al Bakri mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.00 dan Semesta Logistics Sdn Bhd mewakilkan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rahman Ishak menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM500,000.00. Turut menunaikan zakat perniagaan dalam majlis ini adalah Agrobank yang diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mengeluarkan zakat berjumlah RM354,250.00.
Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 98 orang asnaf fakir, 184 orang miskin serta 114 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak RM198,000.00.
Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Amirudin Shari, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.