SHAH ALAM, 20 Mei 2019 – Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM10,835,939.03 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini hari ini.

Enam syarikat korporat tersebut ialah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang diwakili Pengurus Besar Kewangan, Ahmad Rizal Omar, menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,414,826.00, diikuti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman mengeluarkan zakat sebanyak RM1,761,293.03 dan Kumpulan Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusan, Dato’ Mohamed Raffe Chekku menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,339,820.00.

Sementara itu, Universiti MAHSA yang diwakili oleh Pengerusinya, Profesor Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah menunaikan zakat berjumlah RM1,320,000.00, Sime Darby Property diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Hashimi Al Bakri mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.00 dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mewakilkan Pengurus Besar Kumpulan, Tamby Omar Mohamed menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.00.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 80 orang asnaf fakir, 281 orang miskin serta 78 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak 219,500.00.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Amirudin Shari, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid.