SHAH ALAM, 8 Jun 2018 – DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Jakel Trading Sdn Bhd berjumlah RM1,134,537.45 dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Raja Haji Fisabilillah di sini hari.

Jakel Trading Sdn Bhd mewakilkan Pengarah Urusan, Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel menunaikan zakat perniagaannya bagi tahun kewangan 2018.

Pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 275 orang asnaf fakir dan miskin serta 211 orang asnaf mualaf. Kesemua mereka menerima sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah zakat sebanyak RM243,000.

IMG-20180611-WA0005

Pada tahun ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM35,084,750 bantuan zakat untuk diagihkan kepada 44,246 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin serta 5,777 orang asnaf mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Hari Raya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9,519,690 diagihkan kepada 12,528 ketua keluarga asnaf fakir, manakala sebanyak RM23,459,640 diagihkan kepada 31,718 ketua keluarga asnaf miskin dan RM2,105,420 diagihkan kepada 5,777 asnaf mualaf dengan masing-masing menerima antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.

IMG-20180611-WA0002

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim. Hadir sama, Officer in Charge (Ketua Pegawai Penyelaras), Abdul Basith Hamid.