SHAH ALAM, 1 April 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengumumkan pelantikan Mohd Sabirin Mohd Sarbini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuatkuasa 1 April 2022.  

Pelantikan Mohd Sabirin adalah bagi menggantikan Saipolyazan M. Yusof yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 24 Mac lalu.  

Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA)  dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini pernah berkhidmat di beberapa syarikat korporat sebelum menyertai LZS pada tahun 2008.  

Sepanjang tempoh 14 tahun di LZS, Mohd Sabirin memegang beberapa jawatan penting termasuklah sebagai Ketua Divisyen Kutipan dan jawatan terakhir sebelum ini adalah sebagai Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf. 

Selain itu, Mohd Sabirin juga merupakan Perancang Kewangan (RFP Syariah) yang berdaftar di bawah Malaysian Financial Planning Council (MFPC), Ahli Persatuan Percukaian Malaysia (MATA) dan mempunyai pentauliahan mengajar di Negeri Selangor (Khas) di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).  

 Semoga dengan pelantikan ini akan meneruskan visi LZS untuk memperkasakan lagi pengurusan zakat di Negeri Selangor.