SHAH ALAM, 23 Jun 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan dari Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM24,721,844.00 yang diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Majlis Penyempurnaan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di sini.

Cek zakat perniagaan ini disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Zukri Samat bagi tahun kewangan berakhir 2018. Jumlah pembayaran zakat tersebut merupakan peningkatan sebanyak 26.3 peratus berbanding RM19,579,972.09 (2017). Negeri Selangor merupakan penerima Zakat TH yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Kushrin Munawi dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusof.