SHAH ALAM, 27 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 46 buah syarikat berjumlah RM6,815,747.73 dalam satu majlis yang diadakan bertempat di Wisma PKPS di sini.

Radicare (M) Sdn. Bhd. mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, menyerahkan zakatnya berjumlah RM984,122.00, diikuti SIRIM Qas International Sdn. Bhd. sebanyak RM943,149.46 dan KDEB Waste Management Sdn. Bhd. yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM531,498.05.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Bank Muamalat Malaysia Berhad yang mengeluarkan zakat sebanyak RM496,078.31, Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd. sebanyak RM440,811.00, Bank Pembangunan Malaysia Berhad sebanyak RM439,963.00 dan Etiqa Family Takaful Berhad sebanyak RM405,000.00.

Dalam majlis sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat kepada individu dan persatuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM976,303.86.

Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) menerima Bantuan Hutang Maahad Tahfiz berjumlah RM853,303.86, diikuti dengan Mohammad Nazri Sudinan yang merupakan asnaf miskin berdaftar dengan LZS menerima Bantuan Pembinaan Rumah berjumlah RM93,000.00. Manakala, Idris Abdul Hamid@Alias Yatim menerima Bantuan Perubatan sebanyak RM30,000.00.

Manakala, dua lagi individu menerima Dermasiswa Pengajian Tinggi LZS iaitu Aziemah Abdul Aziz sebanyak RM15,120.00 bagimelanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sementara Nazlifa Fisyabillah Noorazman yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Putra Malaysia menerima bantuan zakat berjumlah RM12,394.60.

Turut hadir dalam majlis ini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.