SHAH ALAM, 6 Jun 2018 –  Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 69 buah syarikat berjumlah RM5,608,440.55 yang diserahkan dalam satu Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini.

Maybank Islamic Berhad mendahului senarai syarikat telah mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM865,241.96, diikuti MTD Capital Berhad sebanyak RM570,000, Advance Air Traffic System berjumlah RM524,410.08 dan Kumpulan Perangsang Selangor sebanyak RM500,000.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Celcom Axiata Berhad yang mengeluarkan zakat sebanyak RM427,914, KUB Gaz Sdn Bhd berjumlah RM413,649, Bank Muamalat Malaysia Berhad sebanyak RM251,421.78 dan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd berjumlah RM250,000.

DSC_7044

Sementara itu, dua syarikat yang merupakan pengeluar zakat di LZS telah menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM804,257.87. Mereka ialah Bank Kerjasama Rakyat yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM782,257.87 dan SIRIM Berhad sebanyak RM22,000.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas. Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Dalam majlis yang sama, sembilan individu menerima bantuan zakat berjumlah RM158,235. Mereka ialah dua pesakit dialisis iaitu Muhammad Hasif Muhammad Haidar yang menerima bantuan berjumlah RM46,827 dan Normah Kassim menerima bantuan zakat berjumlah RM28,300.

Manakala, Muhammad Abu Jawzy menerima bantuan zakat sebanyak RM35,000 bagi membiayai kos pembedahan implan jantung dan Norsiah Hamzah yang menerima bantuan sebanyak RM24,327 bagi membiayai kos pembedahan implan tulang kaki.

Sementara itu, lima pelajar asnaf turut menerima bantuan pendidikan dari LZS. Mereka ialah Faranah Lamat yang mendapat bantuan zakat sebanyak RM19,900, Nur Elayana Norsham sebanyak RM11,360, Emran Mohan Arunasalam yang menerima bantuan zakat berjumlah RM9,100, Shamala Nair a/p Balen sebanyak RM8,625 dan Puteri Balqis Abdullah sebanyak RM6,056.

LZS turut menyerahkan sumbangan zakat berbentuk geran tahunan kepada lima buah rumah kebajikan yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjumlah RM95,000. Kesemua rumah kebajikan ini menerima sumbangan dana bagi fasa pertama antara RM10,000 hingga RM25,000.

Turut hadir Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan, Profersor Madya Dato’ Syed Ghazali Wafa Adwam. Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah binti Muhammad Sharif.