SHAH ALAM, 18 Disember 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 24 buah syarikat berjumlah RM4,985,201.33. Majlis ini disempurnakan Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa di sini.

Cyberview Sdn. Bhd. mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM2,000,000.00, diikuti Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. sebanyak RM618,618.53 dan TRIplc Berhad yang mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM482.718.52

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, SME Bank Berhad yang mengeluarkan zakat sebanyak RM379,600.00, TMF Autolease Sdn. Bhd. sebanyak RM375,400.00 dan PNSB Insurance Brokers Sdn. Bhd. sebanyak RM191,466.83. Sementara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia. menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM167,344.71, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebanyak RM154,402.19 dan Affin Islamic Bank menunaikan zakat perniagaan RM100,000.00

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat berjumlah RM136,918.00. Adi Samat merupakan asnaf fakir LZS menerima bantuan rawatan dialisis berjumlah RM35,280.00, manakala Hermaliana Ibrahim yang merupakan asnaf miskin menerima bantuan perubatan berjumlah RM20,730.00.

Sementara itu, tiga individu lagi menerima bantuan pendidikan. Mereka ialah Muhammad Amin Syazani Mohd Jani merupakan mahasiswa jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Management & Science University (MSU) menerima bantuan zakat berjumlah RM51,310.00, Faranah Lamat yang melanjutkan pengajian peringkat kedua dalam jurusan Penyediaan Makanan menerima bantuan sebanyak RM22,650.00 dan Grace Padma a/p Irayapan@Robert menerima bantuan pendidikan bagi asnaf mualaf berjumlah RM6,948.00.

Dalam majlis yang sama turut menyaksikan tiga syarikat pengeluar zakat menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM182,000.00. Lembaga Tabung Haji (TH) yang diwakili Pengarah TH Negeri Selangor, Mohd Sawal Abong menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM150,000.00.

Ini diikuti oleh QSR Brands (M) Holdings Sdn.Bhd. diwakili oleh Pengurus Besar Jabatan Syariah & Pematuhan Halal, Mohd Roslan Mohd Saludin dan University of Nottingham Malaysia yang mewakilkan Pembantu Kanan Pentadbiran, Farahwahida Yang menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ masing-masing berjumlah RM16,000.00.

LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dr. Abdul Rahman Abdullah dan Badariah Abdul Jalil. Hadir sama, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.