KUALA LANGAT, 28 Mac 2022 –  Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan daripada Mc Donald’s Malaysia berjumlah RM600 ribu dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Bayaran zakat perniagaan ini diserahkan oleh Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi kepada Ketua Divisyen Kutipan, Muhd Fikri Naim Harun.

Selain daripada bayaran zakat perniagaan, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan sumbangan wakalah agihan kepada 50 buah keluarga terpilih dari daerah Kuala Langat yang terjejas akibat banjir pada penghujung tahun lepas. Setiap keluarga menerima sumbangan bernilai RM500 dalam bentuk wang tunai dan baucar.

Menurut Muhd Fikri, “LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat korporat di luar sana seperti McDonald’s Malaysia demi menyantuni kelangsungan asnaf di Selangor.  Apatah lagi jumlah keluarga asnaf fakir dan miskin dijangka meningkat kesan daripada situasi ekonomi sekarang. Ini secara tidak langsung bermakna keperluan agihan zakat juga akan turut meningkat seiring dengan pertambahan asnaf di Selangor.”

Hadir sama dalam majlis ini,  Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir.