SHAH ALAM, 4 Disember 2018 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada empat syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM7,503,769.64 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Kumpulan SIRIM Berhad diwakili Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan, Profesor Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohd Hani mendahului senarai syarikat pembayar dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak RM2,308,659.65, diikuti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang diwakili oleh Ketua Pentadbir, Razana Ghazali dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2016 sebanyak RM2,118,237.00.

Manakala QSR Brands (M) Holdings Berhad menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 berjumlah RM1,815,536.64 yang diserah oleh Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, sementara Central Spectrum (M) Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Mahmud Abbas menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 berjumlah RM1,261,336.35.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Profesor Dato’ Dr. Aziuddin Ahmad.

Hadir sama Officer In Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.