SUNGAI BULOH, 17 Mei 2019  – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan van jenazah kepada lima buah hospital di Selangor bernilai RM928,560.00 dalam satu majlis penyerahan kunci van jenazah yang diadakan di sini.

Sumbangan van jenazah ini melibatkan Hospital Sungai Buloh yang menerima dua buah van, Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Serdang dan Hospital Ampang yang masing-masing menerima sebuah van setiap hospital.

Sumbangan van jenazah merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah orang Islam di hospital. Pemilihan hospital yang menerima sumbangan tersebut adalah berdasarkan kepada keperluan semasa hospital berkenaan. Namun keutamaan adalah kepada hospital memiliki van jenazah uzur dan kerap menguruskan jenazah asnaf terutama mualaf.

Untuk makluman pada tahun 2015, LZS telah menyumbang tiga buah kepada tiga buah hospital melibatkan Hospital Kajang, Hospital Sabak Bernam dan Hospital Tanjong Karang.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Khalid Ibrahim dan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr. Kamaruddin Alias. Hadir sama Ketua Divisyen Teknologi Maklumat, Abdul Halim Abdul Rahim.