CYBERJAYA, 25 November 2018 – Sebanyak RM33,207,379.00 diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 60,420 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2019 ini.

Bantuan persiapan persekolahan yang diagihkan setiap tahun ini bagi meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka. Ia diberikan bagi menampung kos pembelian kelengkapan dan yuran persekolahan. Bantuan ini melibatkan anak-anak asnaf di peringkat pra persekolahan sehinggalah ke peringkat sekolah menengah.

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan Perdana 2018 di sini hari ini.

Melalui bantuan tersebut, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala pelajar sekolah menengah kebangsaan pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi pelajar prasekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, para pelajar turut menerima tiga pasang pakaian serta kelengkapan persekolahan yang bernilai RM230 bagi pelajar sekolah rendah kebangsaan, RM200 seorang bagi sekolah rendah agama dan RM275 bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan.

Kelengkapan persekolahan ini boleh didapati melalui pembekal yang dilantik oleh LZS di sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan. Selain itu, LZS turut melantik Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) untuk menyediakan 51,744 pasang pakaian sekolah bagi menampung keperluan pelajar asnaf di tiga buah daerah iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Selain itu, para pelajar berkenaan turut menerima bantuan tambahan berjumlah RM100 setiap seorang bagi menampung keperluan persekolahan lain.

Secara purata, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga. Bantuan tersebut diagihkan secara berperingkat bermula 26 November ini dalam tiga kaedah sama ada melalui akaun bank ketua keluarga, tunai melalui program LZS atau menggunakan kaedah V-Cash (Vaucher Tunai).

Kaedah V-Cash membolehkan ketua keluarga yang tidak memiliki akaun bank untuk mengeluarkan wang bantuan zakat di mana-mana cawangan Bank Islam. Penerima bantuan hanya perlu membawa kad pengenalan ke cawangan Bank Islam untuk membolehkan pengeluaran wang dilaksanakan.

Majlis penyerahan bantuan di bawah Program Pembangunan Pendidikan ini bermula hari ini dan dijangka akan berakhir pada 15 Disember melibatkan 22 program di seluruh Selangor.

Turut hadir, Presiden Universiti Multimedia, Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, Canselor Universiti Multimedia, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras (Officer In Charge) LZS, Abdul Basith Hamid.