KAJANG, 23 November 2019 – Sebanyak RM32,922,380.00 bantuan zakat diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 30,718 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2020 ini.

Bantuan persiapan persekolahan yang diagihkan setiap tahun ini bertujuan meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka. Pengagihan bantuan zakat itu melibatkan 65,956 anak-anak asnaf fakir dan miskin bermula dari peringkat pra sekolah hingga ke sekolah menengah.

Melalui bantuan tersebut, setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan akan menerima sebanyak RM170.00 seorang dan pelajar Sekolah Rendah Agama sebanyak RM150.00 seorang. Manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan pula akan menerima sebanyak RM200.00, sementara bagi Sekolah Menengah Agama akan menerima sebanyak RM150.00.

Kesemua kelengkapan persekolahan ini boleh diperolehi di Pasar Raya Borong Sakan, Econsave Cash & Carry, Tesco, Canggih dan Jakel yang terpilih di sekitar Selangor dengan mengemukakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan, sebelum penebusan kelengkapan tersebut dilakukan.

Dalam majlis sama, lima buah syarikat korporat yang juga merupakan syarikat pengeluar zakat menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ di bawah program bantuan pendidikan asnaf fakir dan miskin berjumlah RM203,653.88.

Lima syarikat tersebut ialah Central Spectrum Sdn Bhd yang menyerahkan sumbangan sebanyak RM66,667.00, diikuti Malaysia Airports Sdn Bhd berjumlah RM50,000.00, Lembaga Juruukur Tanah berjumlah RM50,000.00 dan Sirim Berhad berjumlah RM36,986.88. Manakala, Syamphony Life Sdn Bhd turut menyerahkan sumbangan sebanyak 450 buah beg sekolah kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin.

Untuk makluman, LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Di samping itu, dua buah syarikat korporat turut menyerahkan bayaran zakat perniagaannya berjumlah RM557,417.00 bersempena dengan majlis ini. Syarikat Selia Selenggara Engineering Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM345,194.00, manakala syarikat Bina Masyhur Sdn Bhd menyerahkan zakat berjumlah RM213,223.00

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Ahmad Shahir Makhtar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Paduka Prof. Emeritus Dr. Muhamad Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop. Hadir sama, Ketua Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid.