SHAH ALAM, 28 November 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini meraikan kejayaan asnaf yang menerima bantuan zakat dari LZS dalam Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang, disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Paduka Prof. Emeritus Dr. Muhamad Awang di sebuah hotel di sini.

Majlis ini mengiktiraf kejayaan 67 orang asnaf zakat, di samping memberikan motivasi berterusan kepada mereka untuk terus mengekalkan kejayaan tersebut. Pada masa sama, diharap para penerima bantuan zakat yang lain dapat menjadikan kejayaan ini sebagai contoh untuk ditauladani.

Daripada jumlah tersebut, 52 orang adalah pelajar dalam kalangan anak asnaf yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang kerana memperoleh keputusan membanggakan dalam peperiksaan utama.

Mereka terdiri daripada 13 orang yang mendapat keputusan cemerlang 6A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Mumtaz di dalam Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA). Sementara bagi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), seramai lima orang yang mendapat keputusan 12A dan 11A menerima anugerah yang sama.

Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seramai 21 orang memperoleh keputusan cemerlang 9A hingga 11A. Manakala bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), 10 orang menerima anugerah berikutan pencapaian Mumtaz di dalam peperiksaan dan diikuti tiga orang penerima anugerah bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Sementara tujuh orang mahasiswa mendapat pengiktirafan Anugerah Mahasiswa Cemerlang berdasarkan kepada pencapaian membanggakan di peringkat institut pengajian tinggi.

Sementara itu, tiga bekas asnaf yang mendapat bantuan perniagaan dari LZS dipilih menerima Anugerah Usahawan Berjaya berdasarkan kepada kegigihan dalam perniagaan, selain dapat meningkatkan pendapatan sehingga menjadi pengeluar zakat di LZS.

Mereka ialah Masliana Mohd Sobari yang kini merupakan pengusaha ikan pekasam, Mohd Fauzi Mohd Aziz yang menjalankan perniagaan cucian fabrik dan Faizah Kamaruddin yang menjalankan perniagaan makanan.

Buat julung kalinya juga LZS memperkenalkan anugerah bagi mengiktiraf golongan muallaf di Selangor. Muhammad Adam Muhibullah Abdullah atau dikenali sebagai Da’i Adam dipilih sebagai penerima Anugerah Muallaf Cemerlang atas kecemerlangannya dalam akademik, sahsiah dan rohani, di samping penglibatannya dengan LZS dalam aktiviti dakwah serta sukarelawan. Dua guru pembimbing asnaf muallaf juga terpilih sebagai penerima anugerah.

Turut disampaikan Anugerah Keluarga Saadah dan Anugerah Masjid Islah. Kesemua penerima anugerah menerima insentif wang tunai, plak dan sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyampaikan sumbangan iPad kepada 60 pelajar asnaf LZS yang melanjutkan pengajian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SPBI). Sumbangan ini sebagai pemudahcara dalam pembelajaran kepada anak asnaf fakir dan miskin khususnya yang belajar di sekolah berprestasi tinggi.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M.Yusop dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif.