LZS Pindahkan Keluarga Tinggal di Bawah Jejambat

SHAH ALAM, 12  Oktober 2018 – Berikut merupakan maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkenaan sebuah keluarga yang tinggal di bawah jejambat di sekitar kawasan Desa Park City, Kepong.

Daripada rekod LZS, keluarga ini pernah menerima bantuan deposit sewa rumah di bawah asnaf gharimin. Sehubungan itu, LZS telah mengambil tindakan segera memindahkan keluarga ini ke sebuah inap desa untuk keselesaan buat sementara waktu.

Untuk makluman, keluarga ini telah ditawarkan untuk tinggal di sebuah rumah di Flora Apartment Damansara oleh seorang individu yang prihatin. Bagaimanapun rumah tersebut sedang dibaik pulih dan keluarga ini dijangka berpindah masuk pada 15 Oktober 2018.

LZS merakam ucapan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama bagi memastikan nasib keluarga ini terjamin. Pihak LZS akan terus melaksanakan pemantauan terhadap keluarga ini dan bantuan zakat akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan.