SHAH ALAM,  10 Mei 2019  – Sebanyak RM4,495,000.00 diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membekalkan 29 buah van jenazah kepada masjid terpilih di Selangor dalam satu majlis penyerahan kunci van yang disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini hari ini.

Sumbangan van jenazah merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan membantu memudahkan pengurusan jenazah. Ia diperuntukkan kepada masjid yang tidak memiliki kemudahan kenderaan untuk mengurus jenazah terutamanya di kawasan luar bandar, di samping mempunyai kariah yang ramai.    

Sumbangan van jenazah ini melibatkan empat buah masjid dari daerah Hulu Langat, tiga buah masjid dari daerah Kuala Langat, dua buah masjid dari daerah Sepang, empat buah masjid dari daerah Kuala Selangor dan tiga buah masjid dari darah Gombak. Sementara enam buah masjid lagi adalah dari daerah Petaling, tiga buah masjid dari Sabak Bernam, tiga daerah dari Hulu Selangor dan satu daripada daerah Klang.

Untuk makluman, sumbangan van jenazah ini adalah sebahagian kecil daripada sumbangan zakat di bawah Program Pembangunan Institusi Agama. Sejak 2013 sehingga kini, LZS telah menyumbangkan 60 buah van dengan jumlah keseluruhan RM7.2 juta.

Hadir sama Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid dan Pengurus Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Lukman Al-Hakim Mohd Tamyes.