SHAH ALAM, 28 Disember 2021 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memperkenalkan Pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF) sebagai tanda penghargaan kepada para muzakki (pengeluar zakat) di Selangor yang selama ini bersama-sama LZS menyantuni golongan asnaf melalui komitmen menunaikan zakat perniagaan dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Buat permulaan, sebanyak 34 syarikat korporat menerima penghargaan IKTIRAF Berlian kerana menjadi muzakki yang menunaikan zakat perniagaan melebihi RM1,000,000 di LZS dan sekali gus memastikan kelangsungan pengagihan zakat di Selangor.

Penghargaan IKTIRAF yang julung kali diperkenalkan ini terbahagi kepada empat kategori iaitu:

i. IKTIRAF Berlian – Penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat melebihi RM1,000,000
ii. IKTIRAF Emas – Penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat di antara RM500,000 hingga RM999,999
iii. IKTIRAF Perak – Penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat antara di antara RM100,000 hingga RM499,999
iv. IKTIRAF Gangsa – Penghargaan kepada muzakki yang menunaikan zakat antara RM50,000 hingga RM99,999

Sementara itu dalam majlis yang sama, tiga syarikat yang merupakan pengeluar zakat di LZS telah menyatakan persetujuan menyumbangkan semula sebahagian wang daripada wakalah agihan zakat kepada program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM314,000.

Syarikat tersebut ialah Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM279,000 bagi membina tiga buah rumah untuk asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Manakala CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ sebanyak RM24,000 bagi program ‘Back To School’ kepada 80 orang pelajar asnaf di Selangor dan CELCOM Axiata Berhad menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM11,000 bagi pembelian tablet berserta data internet dan pembiayaan tuisyen kepada 15 orang pelajar asnaf yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

LZS telah memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang meningkat.

Untuk rekod, pada tahun ini sebanyak 25 penyertaan dari syarikat dan individu yang menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ dengan nilai agihan semula melebihi RM3,000,000.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Dr. Anhar Opir, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang. Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.