SHAH ALAM, 23 Jun 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen Bulan Taksir Zakat (BTZ) bagi menggalakkan masyarakat mentaksir sendiri jumlah zakat perlu ditunaikan. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail dalam satu majlis di sini.

Dengan tagline ‘Sempurnakan Zakatmu’, kempen BTZ yang bermula pada 15 Jun hingga 31 Julai ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat supaya tahu jumlah sebenar zakat yang ditunaikan.

Selain itu, ia juga sebagai inisiatif untuk membudayakan taksiran zakat pada setiap bulan Jun sebagai amalan tahunan dalam kalangan masyarakat agar tanggungjawab zakat tidak dilupakan, seiring dengan jumlah harta yang dimiliki supaya ibadah itu dilaksanakan dengan lebih sempurna.

Dalam pada itu, menerusi kempen BTZ berkenaan pengeluar zakat yang memuat turun aplikasi Zakat Selangor dan membuat taksiran zakat seterusnya menunaikan zakat melalui pelbagai saluran pembayaran disediakan, berpeluang menyertai peraduan Jom Taksir Zakat dan memenangi hadiah menarik.

Maklumat terkini berkenaan kempen BTZ akan sentiasa diwar-warkan di saluran rasmi LZS iaitu portal jom.zakatselangor.com.my atau Facebook dan Instagram ZakatSelangor.

Dalam majlis sama, LZS turut memperkenalkan kemudahan terkini pembayaran zakat secara ansuran melalui perkhidmatan debit terus (direct debit) dari akaun bank pembayar zakat. Perkhidmatan dalam talian ini merupakan kerjasama antara LZS dengan Bank Islam Malaysia (BIMB) dan InfaqPay sebagai rakan sinergi.

Melalui kemudahan ini, pembayar zakat dapat menunaikan zakat secara potongan terus dari akaun bank masing-masing dengan lebih mudah dengan hanya melayari zakatselangor.com.my/directdebit. Hanya perlu mengisi maklumat yang diperlukan, seterusnya pembayar zakat boleh membuat bayaran zakat secara ansuran bulanan dan ia secara langsung tidak membebankan pembayar zakat.

Turut hadir dalam majlis ini Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.