SHAH ALAM, 30 Mac 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Modul Bersepadu Baitus Salam yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Baitus Salam, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dalam satu majlis yang diadakan di sini. 

Modul yang mendapat kerjasama dari Institut Kajian Zakat Malaysia (IkaZ), Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini merupakan panduan kepada LZS dalam membimbing dan memberi pendidikan kepada golongan mualaf yang menghuni di Baitus Salam, sekali gus menyokong kelestarian penghayatan Islam membabitkan golongan tersebut.  

Ia merangkumi empat modul utama yang menjadi penanda aras untuk mengukur sejauh mana kecemerlangan penghuni melibatkan Modul Pembangunan Ilmu, Modul Pengurusan Diri, Modul Kepimpinan dan Modul Kemahiran Kerjaya. Keempat-empat modul ini dirangka sebagai kesinambungan daripada pendidikan bermodul yang disarankan dalam Pelan Pendidikan Mualaf untuk menjadi seorang mukallaf. 

Untuk makluman, Baitus Salam merupakan pusat perlindungan mualaf yang diuruskan oleh LZS bagi memberi perlindungan, penjagaan kebajikan dan bimbingan asas fardu ain kepada golongan mualaf. Sejak ia ditubuhkan pada 2016, seramai 244 orang asnaf mualaf telah menghuni Baitus Salam dan menerima bimbingan di sini. 

Turut hadir Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf, Dr. Adibah Abdul Wahab.