SHAH ALAM, 18 Jun 2022 – Seramai 182 orang Guru Pembimbing Asnaf Mualaf (GPAM) diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Guru Mualaf 2020 yang disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dr. Ahmad Shahir Makhtar di sini hari ini.

Untuk makluman GPAM merupakan individu yang dilantik khusus oleh LZS bagi mendidik dan membimbing asnaf Mualaf berdasarkan modul Buku Teks Mualaf yang telah dibangunkan.

Majlis julung kali diadakan itu, turut memberi penghargaan kepada 18 orang GPAM yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan, selain memberikan sumbangan berbentuk saham wakaf kepada tiga orang GPAM yang meninggal dunia semasa tempoh perkhidmatan.

Sesi perkongsian slot motivasi turut disampaikan oleh Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Salasiah Hanin Hamjah bertajuk ‘Psikologi Pendidikan Mualaf Dalam Mendepani Cabaran Kontemporari’.

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhamad Asmadi Mustakim dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.