LZS Anjur Muzakarah Zakat Kebangsaan 2018

SHAH ALAM, 10 Oktober 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menganjurkan program Muzakarah Zakat Kebangsaan 2018 yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Zaini Abdullah.

Dengan tema Zakat di Era Digital Ekonomi, muzakarah kali ini menghimpunkan perwakilan daripada pelbagai sektor, khususnya yang bersangkutan dengan pengurusan zakat di Malaysia, sarjana Islam, pelajar institut pengajian tinggi, ahli akademik terutama pakar dalam bidang zakat termasuk orang perseorangan.

Muzakarah kali ini mengupas topik berkaitan pengurusan zakat terutama pembangunan asnaf serta pembudayaan filantropi Islam, di samping membincangkan isu-isu kontemporari zakat agar pelaksanaannya memenuhi tuntutan syarakat serta memberi motivasi dan impak positif kepada institusi zakat di Malaysia.

Sebanyak 60 kertas kerja dibentangkan sepanjang dua hari muzakarah berlangsung bermula hari ini. Antara pembentang kertas kerja termasuklah Timbalan Pengerusi LZS, Profesor Dato’ Dr. Aizuddin Ahmad yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Zakat: Experiencing The Faith or Accounting The Economics?’, Penyelidik Kanan International Shariah Research Academy (ISRA), Dr. Shamsiah Mohamad dengan kertas kerja bertajuk ‘Penggunaan Teknologi Dalam Pengurusan Zakat Menurut Perspektif Islam’ dan wakil IBM Malaysia Sdn Bhd, Faidz Fahmi yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Teknologi Blockchain: Peluang Dalam Pengurusan Zakat.’

Hadir sama dalam majlis, Ketua Pegawai Penyeralas LZS, Abdul Basith Hamid.