SHAH ALAM, 18 November 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) tegas menyatakan bahawa zakat sebagai rukun Islam hanya difardukan kepada Muslim sahaja, sama ada sebagai muzakki (pengeluar zakat) atau mustahik (penerima zakat).

Prinsip ini jelas dalam hadis sahih dan masyhur yang mewajibkan zakat ke atas harta milik orang Muslim yang kaya untuk diagihkan kepada golongan fakir dan miskin beragama Islam.

Bagaimanapun, ada pengecualian iaitu kepada asnaf mualaf sahaja seperti mana petikan daripada Fatwa Sistem Agihan Zakat Negeri Selangor 2013. Ia menegaskan takrifan mualaf sebagai seseorang yang baru memeluk Islam atau seseorang yang dijinakkan hatinya dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Islam atau yang perlu ditarik simpatinya kepada Islam atau diharap dapat membela orang Islam atau yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam.

Namun, ia tertakluk kepada kriteria seperti berikut:

  1. Disahkan memeluk agama Islam oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau mana-mana institusi yang diiktiraf.
  2. Muallaf, tanggungan sedia ada dan anak-anak yang lahir selepas memeluk agama Islam yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan dalam tempoh lima (5) tahun.
  3. Ketua atau orang bukan Islam yang berpengaruh dan berjinak-jinak dengan Islam dan diharapkan pemberian zakat akan menarik beliau sendiri dan mempengaruhi masyarakatnya kepada Islam.
  4. Ahli keluarga muallaf yang berpotensi untuk memeluk Islam.
  5. Mereka yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam, serta
  6. Orang-orang bukan Islam yang duduk di sempadan dan dikhuatiri akan belot kepada pemerintah Islam.Sehubungan itu, LZS akan terus memartabatkan seruan berzakat serta menyantuni hak lapan asnaf seperti yang tertakluk dalam surat at-Taubah ayat 60.

    Kenyataan Oleh

    SAIPOLYAZAN M. YUSOP

    KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF 

    LEMBAGA ZAKAT SELANGOR