KLANG, 13 Julai 2022 – Sebanyak 13 ekor lembu dan empat ekor kambing dikorbankan dalam Program Korban Perdana 2022 sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kompleks Anak-Anak Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang dikenali Bait Al-Hasanah di sini hari ini.

Ia merupakan sumbangan dari syarikat pengeluar zakat Medkad Sdn Bhd, Persatuan Pengurusan Petronas Malaysia dan individu perseorangan yang akan diagihkan kepada 300 orang asnaf fakir dan miskin di sekitar daerah Klang, Petaling dan Kuala Langat. Setiap keluarga asnaf bakal menerima sebanyak dua kilogram bungkusan daging korban.

Selain sebagai tuntutan ibadah dan meraikan golongan kurang berkemampuan, program ini diadakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara LZS dengan pengeluar zakat melalui aktiviti kemasyarakatan terutamanya melibatkan penerima zakat di Selangor.

Ia turut mendapat kerjasama daripada kakitangan Medkad, Pengurusan Petronas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bergotong-royong menyembelih, melapah dan memasak daging korban tersebut.

Dalam program sama, LZS berserta penyumbang turut menziarahi tiga keluarga asnaf fakir dan miskin di kawasan berhampiran bagi berkongsi pengalaman realiti kehidupan asnaf, di samping menyerahkan sumbangan daging korban dan barangan kering.
Untuk makluman, Program Korban Perdana ini dilaksanakan bermula tahun 2017 dan ini merupakan program kali kedua dijalankan setelah hampir dua tahun kita berada pada fasa pandemik Covid-19.

Hadir sama dalam program ini, Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin bin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini.