CYBERJAYA, 25 November 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan agihan zakat berjumlah RM33,494,500 melalui pelbagai bentuk bantuan bagi memenuhi keperluan ummah terutamanya di Selangor bersempena dengan Majlis Penyerahan Bantuan Pendidikan Perdana 2018 yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di sini hari ini.

Ia melibatkan penyerahan sumbangan zakat sebanyak RM10,000,000 bagi pembelian perabot gantian dan tambahan untuk sekolah-sekolah agama di Negeri Selangor, RM5,600,000 bagi tujuan kelas pembelajaran abad ke-21 di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan RM2,000,000 yang disumbangkan untuk Program Imarah Masjid Negeri Selangor. Kesemua sumbangan zakat ini disalurkan kepada JAIS.

Manakala, sebanyak RM10,144,500 pula disalurkan melalui Program Sekolah Angkat Zakat (PROSAZ) melibatkan 231 buah sekolah di seluruh Selangor. PROSA merupakan progam bersama di antara LZS dengan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPNS) dan JAIS yang memfokuskan kepada anak-anak asnaf bakal menduduki peperiksaan utama seperti UPSR, PMR, SPM dan STAM.

LZS turut menyerahkan bantuan zakat berjumlah RM5,000,000 bagi pembelian komputer riba untuk 2,242 mahasiswa fakir, miskin dan mualaf di Selangor. Mereka ini terdiri mahasiswa yang mendapat tajaan LZS dan sedang mengikuti pengajian di institusi pangajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di seluruh negara.

Sementara itu sebanyak RM750,000 disumbangkan kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) bagi pembelian al-Quran braille dan al-Quran braille elektronik (e-braille al-Quran) untuk dimanfaatkan untuk kemudahan golongan cacat penglihatan mempelajari al-Quran.

Dalam majlis yang sama turut menyaksikan Central Spectrum (M) Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengurus Besar Kanan Jualan & Pemasaran, Mohd Razif Abdul Wahab menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM40,000. Sumbangan tersebut adalah agihan semula Central Spectrum (M) Sdn Bhd yang disalurkan bagi bantuan alat tulis pelajar asnaf fakir dan miskin.

Ini diikuti oleh Alliance Islamic Bank Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rizal II-Ehzan Fadil Azim menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berjumlah RM37,500 bagi bantuan beg sekolah anak asnaf fakir dan miskin. Manakala QSR Brands (M) Holdings Berhad diwakili oleh Pengurus Besar Jabatan Syariah & Pematuhan, Mohd Roslan Mohd Saludin menyerahkan sumbangan ‘Kasihku Zakat Selangor’ berbentuk tajaan KFC berjumlah RM16,000.

LZS memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.

Turut hadir, Presiden Universiti Multimedia, Profesor Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, Canselor Universiti Multimedia, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Dr. Muhamad Awang. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras (Officer In Charge) LZS, Abdul Basith Hamid.