AMPANG, 2 Disember 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan sebanyak RM3,179,115 kepada 2,376 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Gombak bagi membiayai sesi persekolahan 2019.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM859,570 diagihkan kepada 622 keluarga asnaf fakir, manakala RM2,328,545 lagi diagihkan kepada 1,754 keluarga asnaf miskin di daerah ini. Ia melibatkan seramai 5,264 pelajar asnaf fakir dan miskin di daerah ini yang disantuni dengan bantuan tersebut. Bantuan persiapan persekolahan ini diagihkan setiap tahun bagi meringankan bebanan asnaf fakir dan miskin terutamanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan untuk anak-anak mereka.

Ia diberikan bagi menampung kos pembelian kelengkapan dan yuran persekolahan. Bantuan ini melibatkan anak-anak asnaf di peringkat pra persekolahan sehinggalah ke peringkat sekolah menengah.

Melalui bantuan tersebut, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala pelajar sekolah menengah kebangsaan pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi pelajar prasekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, para pelajar turut menerima tiga pasang pakaian serta kelengkapan persekolahan yang bernilai RM230 bagi pelajar sekolah rendah kebangsaan, RM200 seorang bagi sekolah rendah agama dan RM275 bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan.

Kelengkapan persekolahan ini boleh didapati melalui pembekal yang dilantik oleh LZS di sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan.

Selain itu, para pelajar berkenaan turut menerima bantuan tambahan berjumlah RM100 setiap seorang bagi menampung keperluan persekolahan lain.

Secara purata, setiap keluarga akan menerima bantuan mengikut jumlah tanggungan maksimum sehingga RM2,000 bagi satu keluarga. Bantuan tersebut diagihkan secara berperingkat bermula 26 November dalam tiga kaedah sama ada melalui akaun bank ketua keluarga, tunai melalui program LZS atau menggunakan kaedah V-Cash (Vaucher Tunai).

Dalam perkembangan yang sama, seramai 700 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah ini menerima bantuan pendidikan bagi sesi persekolahan 2019 dengan jumlah agihan sebanyak RM906,180.

Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Officer In Charge LZS, Abdul Basith Hamid bersempena dengan Karnival Masjid Ukay Perdana di sini hari ini.

Turut memeriahkan majlis, kehadiran Geng Pagi Hot FM yang menjalankan pelbagai aktiviti bersama pengunjung karnival terutamanya asnaf.

Untuk makluman, pada tahun ini sebanyak RM33,207,379 diperuntukkan oleh LZS kepada 60,420 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2019 ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.