SHAH ALAM, 25 November – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka ruang seluasnya kepada masyarakat terutama di sekitar Shah Alam, dengan menganjurkan program Hari Bertemu Pelanggan 2017 bertempat di ibu pejabat LZS di sini hari ini.

Program julung kali ini, bertujuan mendekati masyarakat mengenali LZS dengan menyediakan khidmat nasihat berkenaan kutipan dan agihan zakat. Pengunjung yang datang bukan sahaja berpeluang bertanya kemusykilan zakat, malahan mentaksir zakat harta mereka sekali gus menunaikan kewajipan zakat. Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh mendapatkan nasihat berkaitan agihan zakat secara terus dengan LZS serta membuat permohonan bantuan zakat.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya adalah pembukaan kaunter aduan zakat, booth program kemahiran dan kerjaya untuk asnaf fakir dan miskin yang mendapatkan kerjasama daripada enam syarikat, operasi Zakat On Wheels, sesi ‘open mic’ bersama pendakwah terkenal, Dato’ Dr. Izhar Ariff Kashim, jualan food truck, pemeriksaan kesihatan dan gigi oleh MAHSA University, aktiviti kanak-kanak dan sebagainya.

thumb_20171125_105425_1024

Sementara itu sempena kedatangan bulan Disember ini, LZS telah merancakkan semangat #kongsirezeki dalam kalangan masyarakat. #kongsirezeki diperkenalkan untuk menghidupkan budaya berkongsi dalam masyarakat, agar wujud kesedaran untuk berkongsi lebih-lebih lagi dengan  golongan yang memerlukan terutamanya asnaf fakir dan miskin.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Officer In Charge Zakat Selangor merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid. 

thumb_20171125_110436_1024