SHAH ALAM, 15 Disember 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menganjurkan program dakwah ‘unik’ Zakat Street On Wheels bagi meluaskan kesedaran zakat dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda bertempatkan PKNS Uptown Shah Alam di sini hari ini.

Program yang mendapat kerjasama dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat zakat dengan cara mudah dan ringan selain mendekati masyarakat yang tidak berkesempatan untuk datang ke kaunter-kaunter LZS. Melalui pendekatan santai, program ini menampilkan pendakwah dan selebriti tanah air yang sama-sama turun padang memeriahkan acara. Antara aktiviti yang turut diadakan termasuk persembahan artis daripada Saiful Apek, Daqmie, Andy Flop Poppy dan Afad & Friends.

Turut terlibat dalam menyampaikan dakwah zakat menerusi sembang santai ialah PU Amin serta Imam Muda Fakhrul. Dalam program yang sama, LZS turut menyampaikan pelbagai bantuan zakat berjumlah RM320,198.00 kepada enam individu dan sumbangan zakat sebanyak RM50,000 kepada KAFA Integrasi An-Najahiyah bagi tujuan baik pulih. Sementara itu, LZS turut menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM29,000.00 kepada 29 orang peniaga yang ditimpa musibah kebakaran di PKNS Uptown Shah Alam baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Pegawai Penyelaras (Officer In Charge) LZS, Abdul Basith Hamid.