SHAH ALAM, 18 Julai 2013 – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyerahkan sumbangan buku daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM200,000.00 kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) atau lebih dikenali Perpustakaan Raja Tun Uda di sini hari ini.

Sumbangan buku-buku berjumlah 2,780 naskah itu menggunakan peruntukan fisabilillah dan terdiri daripada pelbagai topik merangkumi agama Islam, kesenian, fiksyen dan sebagainya akan menjadi rujukan kepada pengunjung di perpustakaan berkenaan.

DYMM Sultan Selangor turut berkenan menyerahkan sumbangan berupa al-Quran braille kepada empat individu cacat penglihatan daripada Persatuan Braille Malaysia iaitu Noorhidayah Ibrahim, Siti Atikah Ayob, Mat Idris Saman dan Mat Rafi Mat Zali.

Selain daripada LZS, turut menyerahkan sumbangan pada hari ini ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Worldwide Holdings Berhad dan Yayasan Al-Bukhary.

Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail. Turut hadir Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS.

Antara buku-buku yang disumbangkan kepada PPAS.