SHAH ALAM, 30 Mei 2019 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada 52 buah syarikat berjumlah RM5,388,272.76 yang diserahkan dalam satu Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini hari ini.

Maybank Islamic Berhad mendahului senarai syarikat telah mengeluarkan zakat perniagaannya berjumlah RM873,484.83, diikuti Advance Air Traffic Systems (M) Sdn. Bhd. sebanyak RM628,897.71, Kumpulan MTD berjumlah RM574,000.00 dan Kumpulan KPJ Healthcare Berhad sebanyak RM499,000.00.

Turut menyerahkan zakat perniagaan ialah Celcom Axiata Berhad yang mengeluarkan zakat sebanyak RM469,810.00, KUB Gaz Sdn Bhd berjumlah RM411,585.00, Turnpike Synergy Sdn. Bhd. sebanyak RM303,855.00, Bank Muamalat Malaysia Berhad sebanyak RM278,782.14 dan Koperasi AIM Berhad berjumlah RM214,581.00.

Sementara itu, tiga syarikat yang merupakan pengeluar zakat di LZS telah menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ melibatkan jumlah agihan semula sebanyak RM134,186.00. Mereka ialah Park Here Sdn. Bhd yang menyumbangkan semula wang zakat sebanyak RM12,300.00, Herbaworks Healthcare Sdn. Bhd. sebanyak RM45,886.00 dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. sebanyak 76,000.00.

‘Kasihku Zakat Selangor’ diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat korporat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas. Melalui ‘Kasihku Zakat Selangor’, syarikat berkaitan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin berdaftar dengan Zakat Selangor termasuk asnaf fisabilillah.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyerahkan sumbangan lapan buah van mobiliti OKU kepada pusat jagaan orang tua, persatuan OKU dan juga IPT terpilih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,356,800.00.

Lapan penerima sumbangan van ini ialah Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Pusat Jagaan Nur Hasanah, Persatuan Kebajikan Al Fikrah Malaysia, Pusat Kebajikan Penyayang Hani, Pusat Jagaan Siti Nor Aini dan Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat. Manakala dua penerima lagi ialah  Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia dan IIUM Endowment Fund.

Sumbangan van ini merupakan salah satu jenis bantuan zakat di bawah asnaf fisabilillah bertujuan memudahkan pengangkutan golongan warga emas di pusat jagaan khususnya mereka yang terlantar mendapatkan rawatan harian di hospital. Ia turut dimanfaatkan oleh pelajar OKU di IPT bagi memudahkan mereka berulang-alik ke kuliah.

Sementara itu, dua orang pelajar asnaf fakir dan miskin turut menerima bantuan pendidikan dari LZS. Mereka ialah Zaki Amir Zuraini @ Zuraimi yang menerima bantuan pendidikan berjumlah RM58,960.00 bagi menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang teknologi animedia dan Muhammad Aiman Zamani yang menerima bantuan zakat sebanyak RM40,707.00 yang menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang farmasi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi LZS, Dato’ Dr. Aiziudin Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid, Ketua Pegawai Operasi (Korporat dan Projek Khas) LZS, Ariffa Ariffin dan Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah binti Muhammad Sharif.