SHAH ALAM, 19 Julai 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjejaki golongan yang memerlukan dengan mengenal pasti individu yang berpotensi menerima manfaat zakat dalam kalangan kakitangan syarikat dan organisasi.

Menggunakan pendekatan berbeza berbanding sebelum ini, LZS mengadakan operasi turun padang melalui program Jejak Zakat Untuk Semua ke syarikat Kumpulan Media Karangkraf bagi mengenal pasti individu dalam kalangan kakitangan yang layak menerima bantuan zakat.

Sasaran operasi adalah golongan yang mempunyai pendapatan bulanan, namun terbeban atas beberapa faktor seperti tanggungan ramai, sakit dan sebagainya.

Menurut Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling, Mohd Nur Fadhli Yohman, “Sebelum ini LZS memperkenalkan program Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) bertujuan mencari dan mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Namun, operasi kali ini berbeza kerana usaha untuk menjejaki golongan lain yang layak menerima zakat di bawah asnaf  gharimin dan fisabilillah bergantung kepada keperluan.”

Tambahnya,”Berbanding sebelum ini di mana LZS akan mencari asnaf dari rumah ke rumah, tahun ini kami mula menjejaki golongan memerlukan dengan mendapatkan kerjasama syarikat dan organasi. Kumpulan Media Karangkraf adalah organisasi pertama yang dijejaki di daerah Petaling. Dua lagi organisasi akan dikunjungi sebelum penghujung tahun.”

Dalam operasi yang dijalankan hari ini, seramai 31 orang kakitangan telah dikenal pasti layak menerima bantuan zakat dan siri kedua operasi akan diteruskan pada 25hb Julai ini.

Untuk makluman sehingga Jun 2018, seramai 47,298 keluarga asnaf fakir dan miskin disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 7,312 keluarga adalah di daerah Petaling.