KOTA DAMANSARA, 11 Ogos 2018 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) daerah Petaling hari ini menjejaki 100 keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara bagi mengenal pasti keluarga yang layak didaftarkan sebagai golongan asnaf dan seterusnya disantuni dengan manfaat zakat dalam program Skuad Jejak Kemiskinan di sini.

Operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf. Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.

20180811_121411

Melalui operasi ini, siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di lokasi, bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat. Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut. Selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.

Di samping itu, operasi SJK hari ini melibatkan sukarelawan daripada Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang turut sama menjalankan aktiviti bancian dan siasatan. Ini secara langsung memberi pendedahan dan pemahaman mengenai gerak kerja mengenal pasti asnaf yang layak. Turut terlibat dalam operasi ini, penolong amil kariah yang dilantik LZS.

20180811_122112

Untuk makluman, sehingga Jun 2018 seramai 47,298 keluarga keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS. Daripada jumlah tersebut, 7,312 adalah keluarga asnaf di daerah Petaling.