Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor

Utama Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor

Soalan Lazim Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor Rendah dan Menengah

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor Rendah & Menengah (SPZAS Ren & Men)?

SPZAS Sek. Ren & Men merupakan bantuan zakat yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membantu golongan pertengahan (B40 & M40) yang memenuhi syarat kelayakan. Ia bertujuan meringankan beban kos pendidikan peringkat sekolah rendah dan menengah pada tahun 2022.

2. Apakah maksud golongan pertengahan?

Ia merujuk kepada golongan isi rumah B40 dan M40 yang paling mudah terjejas dan memerlukan kestabilan pekerjaan serta peningkatan pendapatan bagi menampung kos pendidikan, kos pemilikan perumahan dan kos sara hidup.

3. Mengapa golongan pertengahan layak memohon?

Ini kerana sumbangan yang diberikan adalah dengan menyantuni golongan Muqaddam (awal) terlebih dahulu dengan keutamaan agihan zakat kepada asnaf Fakir, Miskin dan Muallaf. Setelah itu, agihan zakat dipanjangkan kepada golongan Muakhar (akhir) seperti asnaf Fisabilillah yang terdiri daripada golongan berpendapatan pertengahan yang hampir dengan miskin.

4. Mengapa kaedah pengiraan haddul kiffayah digunakan dalam menentukan kelayakan sumbangan ini?

Pengiraan Haddul Kifayah digunapakai bagi mengira perbandingan pendapatan dan perbelanjaan seisi rumah dengan lebih terperinci dan menyeluruh. Kaedah pengiraan Haddul Kifayah ini juga telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

5. Bagaimana hendak memohon sumbangan ini?

Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) sahaja. Sila layari portal https://spzasrm.zakatselangor.com.my melalui laman web LZS di www.zakatselangor.com.my serta ikuti langkah-langkah permohonan. Atau mengimbas QR Code yang tertera. Pemohon juga tidak perlu menghantar sebarang dokumen fizikal ke LZS.

6. Berapa lama tempoh permohonan sumbangan ini dibuka?

Sumbangan ini akan diluluskan kepada permohonan yang menepati syarat bergantung kepada peruntukan sumbangan sedia ada. Permohonan dibuka bermula 3 Oktober 2022 jam 12.01 am dan akan tamat pada 3 Disember 2022 jam 11.59 pm. Bagaimanapun permohonan akan DITUTUP sekiranya telah mencapai had peruntukan yang ditetapkan iaitu RM13,000,000.00 bagi SPZAS Rendah Menengah.

7. Apakah syarat kelayakan bagi sumbangan ini?

Syarat kelayakan sumbangan adalah seperti berikut:
  1. Beragama Islam
  2. Warganegara Malaysia
  3. Lahir dan menetap di negeri Selangor/bermastautin di negeri Selangor tidak kurang daripada tiga (3) tahun
  4. Pra sekolah / Tadika (umur 5-6 tahun sahaja)
  5. Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Agama (umur 7-12 tahun sahaja)
  6. Sekolah Menengah (13-18 tahun) SMK/SAM/MRSM/SBP/STAM/STPM di dalam dan di luar negeri Selangor.
  7. Pendapatan seisi rumah hendaklah melebihi daripada Haddul Kifayah iaitu garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf, namun jumlah lebihan tersebut tidak melebihi nilai maksimum RM11,000.00

8. Apakah borang yang perlu disertakan semasa membuat permohonan?

Terdapat enam (6) dokumen yang wajib dimuat naik (upload) oleh pemohon sewaktu permohonan dibuat. Dokumen tersebut adalah seperti berikut:
  1. Kad pengenalan ketua keluarga
  2. Kad pengenalan pasangan
  3. *Borang A (Borang Pengesahan Bermastautin, Pendapatan Seisi Keluarga)
  4. *Borang B (Borang Pengesahan Sekolah Rendah & Menengah SPZAS LZS (MAIS)
  5. Penyata akaun bank ketua keluarga
  6. Penyata / slip gaji ketua keluarga/pasangan dan tanggungan lain (sekiranya pendapatan melalui kerja bermajikan)
*Pengesahan pendapatan atau slip gaji hendaklah terkini dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh permohonan ini. *Nota: Borang-borang ini boleh dimuat turun (download) di https://zakatsweb02.zakatselangor.com.my/spzasrm.

9. Adakah semua peringkat persekolahan boleh memohon sumbangan ini?

Permohonan hanya dibuka untuk tanggungan di peringkat persekolahan seperti berikut:
  1. Pra sekolah / Tadika (umur 5-6 tahun sahaja)
  2. Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Agama (umur 7-12 tahun sahaja)
  3. Sekolah Menengah (13-18 tahun) SMK/SAM/MRSM/SBP/STAM/STPM di dalam dan di luar negeri Selangor.

10. Adakah pelajar tahfiz boleh memohon sumbangan ini?

Pelajar tahfiz tidak boleh memohon sumbangan ini kerana LZS telah memberikan sejumlah peruntukan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk diagihkan kepada pelajar di sekolah tahfiz yang berdaftar dengan JAIS.

11. Adakah pelajar sekolah aliran pendidikan swasta boleh memohon sumbangan ini?

Pelajar sekolah aliran pendidikan swasta boleh memohon sumbangan ini sekiranya sekolah tersebut mengamalkan dasar pendidikan nasional yang seragam sebagaimana aliran pendidikan perdana yang dipraktikkan di sekolah kebangsaan.

12. Berapa lama tempoh kelulusan dan bayaran sumbangan ini serta cara bayaran dibuat?

Proses kelulusan sumbangan ini adalah 14 hari bekerja dan bayaran akan dibuat terus ke akaun pemohon secara EFT (Electronic Fund Transfer). Walau bagaimanapun bagi permohonan pada lima hari terakhir iaitu pada 29/11/2022 hingga 3/12/2022, bayaran akan dibuat dalam tempoh 30 hari selepas tarikh tutup permohonan.

13. Berapa kadar sumbangan yang akan diberikan?

Berikut adalah kadar sumbangan SPZAS Sek. Ren & Men:
  1. Pra sekolah / Tadika- RM200.00 (per tanggungan)
  2. Sekolah Rendah Kebangsaan - RM200.00 (per tanggungan)
  3. Sekolah Rendah Agama - RM200.00 (per tanggungan)
  4. Sekolah Menengah - RM200.00 (per tanggungan)

14. Berapa kadar sumbangan maksimum satu keluarga?

Tiada kadar maksimum bagi sumbangan ini.

15. Adakah sumbangan ini secara berterusan?

Tidak. Sumbangan ini adalah secara one-off bagi setiap permohonan.

16. Adakah sebarang maklum balas yang akan diberikan berkaitan status permohonan?

Pemohon boleh menyemak status permohonan dengan melayari portal https://spzasrm.zakatselangor.com.my. melalui laman web www.zakatselangor.com.my dan klik semak. Maklum balas permohonan berjaya atau gagal akan dimaklumkan melalui emel.

17. Apakah kaedah yang digunakan oleh LZS di dalam mengagihkan sumbangan ini?

Kaedah yang digunakan adalah secara First Come First Serve mengikut baki bantuan sedia ada ketika permohonan dibuat kerana jumlah peruntukan bagi sumbangan ini adalah terhad. Walau bagaimanapun permohonan akan ditutup sekiranya telah mencapai had peruntukan yang ditetapkan.

18. Adakah anak yang bersekolah di luar negeri Selangor boleh memohon bantuan ini?

Boleh, sekiranya ketua keluarga bermastautin di negeri Selangor.

19. Adakah pemohon berstatus 'bankrap' boleh memohon sumbangan ini?

Pemohon- berstatus 'bankrap' tidak dibenarkan memohon sumbangan ini, namun dibenarkan mengemukakan permohonan melalui pasangannya.

20. Adakah asnaf fakir dan miskin boleh memohon sumbangan ini?

Sistem secara automatik akan menolak permohonan yang dibuat oleh asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan LZS.

21. Kenapa Borang A perlu disahkan oleh pegawai pengesah?

Borang A perlu disemak oleh pegawai pengesah kerana mereka ini lebih dekat dengan masyarakat.

22. Kenapa Borang B perlu disahkan oleh pegawai sekolah?

Borang B perlu disahkan oleh pegawai-pegawai di sekolah kerana mereka mempunyai maklumat lengkap dan tepat mengenai pelajar yang membuat permohonan.

23. Bagaimanakah pemohon boleh membuat pengesahan sekolah sekiranya anak bersekolah di luar negeri Selangor?

Pemohon dikehendaki mengemukakan lampiran tambahan bersama Borang B dengan memuatnaik cetakan/paparan skrin profil maklumat anak jagaan di Modul Pengurusan Murid di laman web Kementerian Pendidikan Malaysia www.public.moe.gov.my. Contoh : PENGESAHAN ANAK BELAJAR DI LUAR NEGERI SELANGOR

24. Adakah boleh menghantar borang permohonan SPZAS Sek Ren & Men melalui serahan di kaunter atau dokumen fizikal?

Permohonan ini hanya diterima melalui atas talian di web www.zakatselangor.com.my dan klik ke https://spzasrm.zakatselangor.com.my sahaja.

25. Adakah pemohon boleh membuat sebarang rayuan sekiranya permohonan telah ditolak?

Sebarang rayuan semula permohonan sumbangan ini tidak akan dipertimbangkan.

26. Adakah ketua keluarga yang merupakan pemegang pasport layak memohon SPZAS Ren&Men ini?

Hanya ketua keluarga berstatus warganegara sahaja yang layak memohon bantuan SPZAS Ren& Men ini.

27. Adakah permohonan SPZAS Ren&Men akan digagalkan sekiranya terdapat mana-mana maklumat atau dokumen tanggungan yang bersekolah tidak lengkap atau tepat?

Permohonan akan diluluskan merujuk kepada bilangan tanggungan bersekolah yang mempunyai dokumen yang tepat dan lengkap.

28. Adakah pengesahan pada Borang A dan Borang B boleh dicop/disahkan oleh selain daripada pengesah seperti yang telah dinyatakan di dalam borang-borang tersebut?

Tidak boleh. Pengesahan pada setiap borang tersebut mestilah mengikut kepada ketetapan pengesahan seperti maklumat berikut:

BORANG A: Penghulu/Ketua Kampung/Ketua Penduduk/Nazir Masjid/Pengerusi Surau/Ketua Penolong Amil Kariah/Penolong Amil Kariah yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor sahaja.
BORANG B: Pengetua/Guru Besar/Guru Penolong Kanan/Kaunselor sekolah sahaja.
Kegagalan melengkapkan maklumat pengesah seperti nama, jawatan, cop, nombor telefon, nama sekolah dan tandatangan seperti yang ditetapkan boleh menyebabkan permohonan anda TIDAK BERJAYA.

29. Bagi dokumen lampiran ketua keluarga dan pasangan, adakah permohonan dikira lengkap dengan hanya melampirkan kad pengenalan muka depan atau muka belakang sahaja?

Kad pengenalan merupakan dokumen rasmi warganegara Malaysia, maka semua urusan rasmi permohonan SPZAS Ren&Men hendaklah dilampirkan muka depan dan belakang untuk kelulusan permohonan.

30. Sekiranya saya mempunyai pertanyaan, di manakah perlu saya rujuk?

Pemohon boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1-300-88-4343 bagi sebarang maklumat dan pertanyaan berkaitan bantuan ini.

Muat Turun Borang Sokongan

BilBorangMuat Turun
1Borang A - Borang Pengesahan Bermastautin, Pendapatan Seisi Keluarga Muat Turun Borang
2Borang B - Borang Pengesahan Sekolah Rendah & Menengah SPZAS LZS(MAIS) Muat Turun Borang

** Dengan membuat permohonan zakat ini, anda memahami dan telah membaca syarat-syarat kelayakan yang dinyatakan dan bersetuju untuk Lembaga Zakat Selangor memproses Data Peribadi bagi tujuan permohonan bantuan zakat sahaja.

Pin It on Pinterest

Share This