Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (IPT)

Utama Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (IPT)

Soalan Lazim Sumbangan Pendidikan Asnaf Zakat Selangor

1. Apakah yang dimaksudkan Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS)?

SPZAS adalah salah satu daripada bantuan yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertujuan meringankan beban kos pendidikan di institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara bagi golongan pendapatan pertengahan dan bawah (M40 & B40) yang memenuhi syarat kelayakan.

2. Bagaimanakah cara hendak memohon SPZAS ini?

Permohonan hanya boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web LZS di spzas.zakatselangor.com.my dan seterusnya ikuti langkah-langkah permohonan. Dokumen fizikal permohonan tidak perlu diajukan kepada LZS.

3. Berapa lamakah tempoh permohonan SPZAS dibuka?

Sumbangan ini akan diluluskan kepada permohonan yang menepati syarat bergantung kepada peruntukan sumbangan sedia ada. Permohonan dibuka bermula 3 Oktober 2022 jam 12.01 am dan akan tamat pada 3 Disember 2022 jam 11.59 pm. Bagaimanapun permohonan akan ditutup sekiranya telah mencapai had peruntukan yang ditetapkan iaitu RM6,000,000 bagi SPZAS IPT dalam negara dan RM1,000,000 bagi SPZAS IPT luar negara.

4. Apakah syarat-syarat permohonan SPZAS?

Kriteria kelayakan sumbangan adalah seperti berikut:-
  1. Beragama Islam.
  2. Warganegara Malaysia.
  3. Lahir dan menetap di Selangor / Bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang daripada tiga (3) tahun
  4. Bagi SPZAS IPT dalam negara, permohonan dibuka untuk peringkat pengajian Sijil/Pra-Diploma/Asasi/Matrikulasi/Diploma/Diploma Lanjutan/Ijazah Sarjana Muda/Ijazah Sarjana.
  5. Bagi SPZAS IPT luar negara, permohonan dibuka untuk peringkat Sijil/Sijil Profesional/Ijazah Sarjana Muda/Ijazah Sarjana di semua negara.
  6. Pendapatan seisi rumah hendaklah melebihi Haddul Kifayah (garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf) dengan julat lebihan tersebut tidak melebihi RM11,000 bagi SPZAS IPT dalam negara dan luar negara.

5. Adakah pemohon perlu melampirkan sebarang dokumen?

Ya. Terdapat lapan dokumen yang diwajibkan untuk setiap pemohon memuat naik sewaktu permohonan dilakukan iaitu:
  1. Kad Pengenalan Pemohon (Pelajar)
  2. Kad Pengenalan Suami/Isteri/Penjaga
  3. Sijil Kelahiran/Kad Pengenalan Tanggungan Keluarga
  4. Bil api/bil air yang terkini (dalam 3 bulan daripada tarikh permohonan)
  5. Slip gaji atau *Borang Pengesahan Pendapatan (Bagi yang tiada slip gaji) yang terkini (dalam 3 bulan daripada tarikh permohonan) bagi diri/suami/isteri/ibu dan bapa serta semua tanggungan yang bekerja dan tinggal bersama.
  6. *Borang/surat pengesahan belajar semester/tahap yang terkini yang mengandungi pengesahan tajaan daripada IPT.
  7. *Borang/surat pengesahan pemastautin ketua keluarga/penjaga yang terkini (dalam 3 bulan daripada tarikh permohonan)
  8. Penyata akaun bank pemohon (pelajar) yang masih aktif (bagi pengesahan nombor akaun bank)
  9. Pasport/Visa pemohon(pelajar) (bagi permohonan SPZAS IPT luar negara)
  10. Kad Orang Kelainan Upaya (OKU) (jika berkenaan)
  11. Laporan Perubatan Sakit Kronik (Jika Berkenaan)
*Nota:Borang-borang ini boleh dimuat turun di www.zakatselangor.com.my/spzasipt

6.Siapakah yang boleh memohon SPZAS?

Permohonan SPZAS IPT dalam negara terbuka kepada pelajar yang melanjutkan pengajian tinggi di peringkat:
  1. Sijil
  2. Pra-Diploma/Asasi/Matrikulasi
  3. Diploma/Diploma Lanjutan
  4. Ijazah Sarjana Muda/Sijil Professional
  5. Ijazah Sarjana (Master)
Permohonan SPZAS IPT luar negara pula terbuka kepada pelajar yang melanjutkan pengajian tinggi di luar negara di peringkat:
  1. Sijil/Sijil Profesional
  2. Ijazah Sarjana Muda/Sijil Professional
  3. Ijazah Sarjana (Master)

7. Adakah mod pengajian separuh masa boleh memohon sumbangan ini?

Ya. Mod pengajian separuh masa turut boleh memohon sumbangan ini.

8. Adakah pelajar yang menyambung pelajaran peringkat STPM dan STAM boleh memohon SPZAS ini?

Tidak. SPTM dan STAM adalah dikategorikan sebagai pendidikan peringkat sekolah menengah dan bukan peringkat pengajian tinggi. Permohonan bagi kategori ini boleh dibuat di SPZAS Ren Men dengan melayari www.zakatselangor.com.my/spzasrm

9. Berapa lamakah tempoh kelulusan dan bagaimana kaedah bayaran ini dibuat?

Tempoh kelulusan dan bayaran sumbangan ini adalah dalam masa 16 hari bekerja daripada tarikh permohonan dibuat. Sekiranya permohonan masih dibuka dan terdapat permohonan yang dihantar dalam masa 5 hari sehingga sebelum tamat tempoh permohonan, LZS akan membuat pembayaran bagi permohonan tersebut selewatnya pada tarikh 22 Disember 2022. Bayaran akan dikreditkan ke akaun bank pemohon secara EFT (Electronic Fund Transfer).

10. Adakah sebarang rayuan akan dibuka sekiranya permohonan SPZAS yang dihantar dengan maklumat/dokumen lampiran yang tidak lengkap?

Tidak. Sebarang permohonan yang dihantar dengan maklumat/dokumen lampiran yang tidak lengkap akan ditolak. Adalah penting untuk pemohon menyemak semua maklumat, kiraan Haddul Kifayah dan dokumen lampiran dengan teliti sebelum menghantar permohonan.

11. Bagaimana semakan pemohonan boleh dibuat? Adakah sebarang maklum balas yang akan diberikan berkaitan status permohonan?

Pemohon boleh menyemak status permohonan dengan melayari laman web LZS di https://spzas.zakatselangor.com.my. Maklum balas status permohonan juga akan diemelkan kepada pemohon.

12. Adakah SPZAS ini secara berterusan?

Tidak. Bantuan SPZAS ini adalah secara one-off setahun sekali sahaja. Walaubagaimanapun, LZS membuka semula peluang kepada permohonan SPZAS di awal tahun 2022 yang gagal (kecuali gagal disebabkan Lebih Haddul Kifayah, Mastatutin Luar Selangor & Penerima Dermasiswa LZS) untuk membuat permohonan semula pada SPZAS pada kali ini.

13. Berapakah kadar sumbangan yang akan diberikan?

Setiap permohonan yang diluluskan akan menerima kadar sumbangan sebanyak RM700 (SPZAS IPT dalam negara) & RM1,000 sehingga RM2,500 (SPZAS IPT luar negara) bagi setiap peringkat pengajian seperti dinyatakan di atas.

14. Saya telah menerima Bantuan Dermasiswa dibawah tajaan LZS. Adakah saya layak untuk memohon sumbangan ini?

Asnaf Fakir, Miskin, Muallaf dan Fisabilillah yang menerima tajaan pendidikan LZS tidak layak memohon SPZAS.

15. Siapakah yang layak memohon SPZAS ini?

SPZAS ini disasarkan kepada golongan pendapatan pertengahan dan bawah (M40 & B40) yang memenuhi syarat kelayakan.

16. Siapakah yang dimaksudkan dengan “pemohon” SPZAS? Adakah pemohon yang telah bekeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri dikategorikan sebagai pemohon atau ketua keluarga?

“Pemohon” adalah merujuk kepada individu yang melanjutkan pengajian IPT di dalam dan luar negara. “Pemohon” yang telah berkeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri juga dikategorikan sebagai pemohon serta sebagai ketua keluarga. “Pemohon” yang masih belum berkeluarga sendiri, ketua keluarga mereka adalah individu pencari nafkah yang utama bagi sesebuah isi rumah.
Mereka adalah sama ada bapa, ibu tunggal, ibu yang menjadi ketua keluarga kerana bapa yang hilang keupayaan bekerja (kerana cacat/sakit), anak yang menanggung nafkah keluarga atau individu yang bertanggungjawab menanggung sebuah keluarga.

17. Apa maksud golongan pertengahan dan bawah?

Golongan pertengahan adalah golongan yang berada di luar daripada garis kecukupan Haddul Kifayah serta isi rumah yang berpendapatan pertengahan dan bawah di dalam masyarakat. Golongan ini juga paling mudah terjejas dan memerlukan kestabilan pekerjaan serta peningkatan pendapatan bagi menampung kos pendidikan, kos pemilikan perumahan dan kos sara hidup.

18. Mengapa golongan pertengahan dan bawah layak memohon?

Ini kerana sumbangan yang diberikan adalah dengan menyantuni keseluruhan golongan Muqaddam(awal) terlebih dahulu dengan keutamaan agihan zakat kepada asnaf Fakir, Miskin dan Muallaf melalui penajaan penuh Dermasiswa Pendidikan. Setelah itu, agihan zakat dipanjangkan kepada golongan Muakhar (akhir) seperti asnaf Fisabilillah yang terdiri daripada golongan berpendapatan pertengahan dan bawah (M40 & B40).

19. Mengapa kaedah pengiraan Haddul Kifayah digunakan dalam menentukan kelayakan sumbangan ini?

Pengiraan Haddul Kifayah diguna pakai bagi mengira perbandingan pendapatan dan perbelanjaan seisi rumah dengan lebih terperinci dan menyeluruh. Kaedah pengiraan Haddul Kifayah ini juga telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

20. Adakah SPZAS IPT dalam negara dibuka kepada pelajar bagi semua semester dan tahap?

Ya. SPZAS IPT dalam negara dibuka kepada pelajar IPT bagi semua semester dan tahap bagi membantu mengurangkan beban kos pendidikan yang ditanggung sewaktu pengajian.

21. Adakah sumbangan ini dibuka kepada pelajar luar negara?

Ya. Sumbangan ini turut dibuka kepada pelajar luar negara di semua negara yang menyambung pengajian di peringkat Sijil, Sijil Profesional, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana.

22. Sekiranya saya mempunyai pertanyaan, di manakah perlu saya rujuk?

Pemohon boleh menghubungi Talian Zakat Selangor 1300-88-4343 bagi sebarang maklumat dan pertanyaan berkaitan bantuan ini.

Muat Turun Borang Sokongan

BilBorangMuat Turun
1Borang Pengesahan Belajar Muat Turun Borang
2Borang Pengesahan Pemastautin Muat Turun Borang
3Borang Pengesahan Pendapatan Muat Turun Borang
4Manual Permohonan SPZAS Muat Turun Borang

** Dengan membuat permohonan zakat ini, anda memahami dan telah membaca syarat-syarat kelayakan yang dinyatakan dan bersetuju untuk Lembaga Zakat Selangor memproses Data Peribadi bagi tujuan permohonan bantuan zakat.

Pin It on Pinterest

Share This