Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor

Utama Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor

Soalan Lazim Sumbangan Pendidikan Asnaf Zakat Selangor

1. Apakah yang dimaksudkan Sumbangan Pendidikan Zakat Anak Selangor (SPZAS)?

SPZAS adalah salah satu daripada bantuan yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bertujuan meringankan beban kos pendidikan di institut pengajian tinggi (IPT) dalam negara dan luar negara bagi golongan pertengahan yang memenuhi syarat kelayakan.

2. Bagaimanakah cara hendak memohon SPZAS ini?

Permohonan hanya boleh dibuat secara atas talian (online) dengan melayari laman web LZS di www.zakatselangor.com.my/spzas dan seterusnya ikuti langkah-langkah permohonan. Dokumen fizikal permohonan tidak perlu diajukan kepada LZS.

3. Berapa lamakah tempoh permohonan SPZAS dibuka?

Sumbangan ini akan diluluskan kepada permohonan yang menepati syarat bergantung kepada peruntukan sumbangan sedia ada. Permohonan dibuka bermula 20 November 2021 jam 12.01 am dan akan tamat pada 20 Disember 2021 jam 11.59 pm. Bagaimanapun permohonan akan ditutup sekiranya telah mencapai had peruntukan yang ditetapkan iaitu RM4,000,000 bagi SPZAS IPT dalam negara dan RM1,000,000 bagi SPZAS IPT luar negara.

4. Apakah syarat-syarat permohonan SPZAS?

Kriteria kelayakan sumbangan adalah seperti berikut:-
  1. Beragama Islam.
  2. Warganegara Malaysia.
  3. Ketua keluarga/penjaga lahir ahir dan menetap di Selangor / Bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang daripada tiga (3) tahun
  4. Bagi SPZAS IPT dalam negara, permohonan hanya untuk semester kedua (IPTA/IPTS)/SKM tahap dua(ILK/ILKS) dan ke atas sahaja (Bagi peringkat pengajian Sijil/Pra-Diploma/Asasi/Matrikulasi yang tiada semester/tahap adalah layak memohon)
  5. Bagi SPZAS IPT luar negara, permohonan hanya untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Pengajian Islam dan Perubatan di negara Mesir, Jordan dan Morocco.
  6. Pendapatan seisi rumah hendaklah melebihi Haddul Kifayah (garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf) dengan julat lebihan tersebut tidak melebihi RM5,000 bagi SPZAS IPT dalam negara dan RM7,000 bagi SPZAS IPT luar negara.

5. Adakah pemohon perlu melampirkan sebarang dokumen?

Ya. Terdapat 11 (sebelas) dokumen yang diwajibkan untuk setiap pemohon memuat naik sewaktu permohonan dilakukan iaitu:
  1. Kad Pengenalan Pemohon
  2. Kad Pengenalan Suami/Isteri/Penjaga
  3. Sijil Kelahiran/Kad Pengenalan Tanggungan Keluarga
  4. Bil api/bil air yang terkini (dalam 3 bulan daripada tarikh permohonan)
  5. Slip gaji atau *Borang Pengesahan Pendapatan Terkini(Bagi yang tiada slip gaji) yang terkini (dalam 3 bulan daripada tarikh permohonan)
  6. *Borang/surat pengesahan belajar semester/tahap yang terkini/semasa (bagi pelajar IPT luar negara pengesahan adalah melalui Pegawai Atase Pendidikan Selangor)
  7. *Borang Pengesahan Permastautinan yang terkini (dalam 3 bulan daripada tarikh permohonan)
  8. Penyata Akaun Bank Pemohon yang masih aktif (Bagi Pengesahan No Akaun Bank)
  9. Kad OKU (Jika Berkenaan)
  10. Laporan Perubatan Sakit Kronik (Jika Berkenaan)
  11. Pasport dan Visa pemohon (bagi permohonan SPZAS IPT luar negara)
*Nota:Borang-borang ini boleh dimuat turun di www.zakatselangor.com.my/spzas.

6.Siapakah yang boleh memohon SPZAS?

Permohonan SPZAS IPT dalam negara hanya terbuka kepada pelajar semester/tahap dua (2) dan ke atas yang melanjutkan pengajian di peringkat:
  1. Sijil
  2. Pra-Diploma/Asasi/Matrikulasi
  3. Diploma/Diploma Lanjutan
  4. Ijazah Sarjana Muda/Sijil Professional
  5. Ijazah Sarjana (Master)
Permohonan SPZAS IPT luar negara pula hanya terbuka kepada pelajar di dalam bidang Pengajian Islam dan Perubatan di negara Mesir, Jordan serta Morocco yang melanjutkan pengajian di peringkat:
  1. Ijazah Sarjana Muda

7. Adakah mod pengajian separuh masa boleh memohon sumbangan ini?

Ya. Mod pengajian separuh masa turut boleh memohon sumbangan ini.

8. Adakah pelajar yang menyambung pelajaran peringkat STPM boleh memohon SPZAS ini?

Tidak. SPTM masih dikategorikan sebagai “pendidikan lepasan menengah” namun tidak termasuk di dalam kategori Pendidikan Tinggi merujuk kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Kerangka operasi STPM juga adalah masih di bawah Kementerian Pendidikan dan bukan Kementerian Pengajian Tinggi.

9. Berapa lamakah tempoh kelulusan dan bagaimana kaedah bayaran ini dibuat?

Tempoh kelulusan dan bayaran sumbangan ini adalah dalam masa 14 hari bekerja daripada tarikh permohonan dibuat. Sekiranya permohonan masih dibuka dan terdapat permohonan yang dihantar dalam masa 5 hari sehingga sebelum tamat tempoh permohonan, LZS akan membuat pembayaran bagi permohonan tersebut selewatnya pada tarikh 20 Januari 2022. Bayaran akan dikreditkan ke akaun bank pemohon secara EFT (Electronic Fund Transfer).

10. Adakah sebarang rayuan akan dibuka sekiranya permohonan SPZAS yang dihantar dengan maklumat/dokumen lampiran yang tidak lengkap?

Tidak. Sebarang permohonan yang dihantar dengan maklumat/dokumen lampiran yang tidak lengkap akan ditolak. Pemohon dinasihati agar menyemak semua maklumat, kiraan Haddul Kifayah dan dokumen lampiran dengan teliti sebelum menghantar permohonan.

11. Bagaimana semakan pemohonan boleh dibuat? Adakah sebarang maklum balas yang akan diberikan berkaitan status permohonan?

Pemohon boleh menyemak status permohonan dengan melayari laman web LZS di www.zakatselangor.com.my/spzas. Maklum balas status permohonan juga akan diemelkan kepada pemohon.

12. Adakah SPZAS ini secara berterusan?

Tidak. Sumbangan tahun 2021 ini adalah secara one-off sahaja.

13. Berapakah kadar sumbangan yang akan diberikan?

Setiap permohonan yang diluluskan akan menerima kadar sumbangan sebanyak RM700 (SPZAS IPT dalam negara) & RM2,500 (SPZAS IPT luar negara) bagi setiap peringkat pengajian seperti dinyatakan di atas.

14. Saya telah menerima Bantuan Dermasiswa dibawah tajaan LZS. Adakah saya layak untuk memohon sumbangan ini?

Asnaf fakir, miskin, muallaf dan Fisabilillah yang menerima tajaan pendidikan LZS tidak layak memohon SPZAS.

15. Siapakah yang golongan sasaran untuk permohonan SPZAS ini?

SPZAS ini disasarkan kepada golongan pertengahan yang memenuhi syarat kelayakan.

16. Siapakah yang dimaksudkan dengan “pemohon” SPZAS? Adakah pemohon yang telah bekeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri dikategorikan sebagai pemohon atau ketua keluarga?

“Pemohon” adalah merujuk kepada individu yang melanjutkan pengajian di IPT dalam dan luar negara. “Pemohon” yang telah berkeluarga dan mempunyai tanggungan sendiri juga dikategorikan sebagai pemohon serta sebagai ketua keluarga. “Pemohon” yang masih belum berkeluarga sendiri, ketua keluarga mereka adalah individu pencari nafkah yang utama bagi sesebuah isi rumah. Mereka adalah sama ada bapa, ibu tunggal, ibu yang menjadi ketua keluarga kerana bapa yang hilang keupayaan bekerja (kerana cacat/sakit), anak yang menanggung nafkah keluarga atau individu yang bertanggungjawab menanggung sebuah keluarga.

17. Apa maksud golongan pertengahan?

Golongan pertengahan adalah golongan yang berada di luar daripada garis kecukupan Haddul Kifayah serta isi rumah yang berpendapatan 40% (peratus) terendah di dalam masyarakat. Golongan ini juga paling mudah terjejas dan memerlukan kestabilan pekerjaan serta peningkatan pendapatan bagi menampung kos pendidikan, kos pemilikan perumahan dan kos sara hidup.

18. Mengapa golongan pertengahan layak memohon?

Ini kerana sumbangan yang diberikan adalah dengan menyantuni keseluruhan golongan Muqaddam(awal) terlebih dahulu dengan keutamaan agihan zakat kepada asnaf Fakir, Miskin dan Muallaf melalui penajaan penuh Dermasiswa Pendidikan. Setelah itu, agihan zakat dipanjangkan kepada golongan Muakhar(akhir) seperti asnaf Fisabilillah yang terdiri daripada golongan berpendapatan pertengahan.

19. Mengapa kaedah pengiraan Haddul Kifayah digunakan dalam menentukan kelayakan sumbangan ini?

Pengiraan Haddul Kifayah diguna pakai bagi mengira perbandingan pendapatan dan perbelanjaan seisi rumah dengan lebih terperinci dan menyeluruh. Kaedah pengiraan Haddul Kifayah ini juga telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

20. Mengapa syarat SPZAS IPT dalam negara hanya dibuka kepada pelajar bagi semester dua dan ke atas?

SPZAS IPT dalam negara dibuka kepada pelajar semester dua dan ke atas bagi memastikan pelajar tersebut masih belajar di pusat pengajian tinggi dengan turut mendapat pengesahan daripada pihak IPT.

21. Adakah sumbangan ini tidak dibuka kepada pelajar luar Negara?

Ya. Sumbangan ini turut dibuka kepada pelajar luar negara namun hanya tertakluk kepada negara Mesir, Jordan dan Morocco di dalam bidang Pengajian Islam dan Perubatan di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

22. Sekiranya saya mempunyai pertanyaan, di manakah perlu saya rujuk?

Pemohon boleh menghubungi Talian Zakat Selangor di 1300-88-4343 bagi sebarang maklumat dan pertanyaan berkaitan bantuan ini namun sebarang pertanyaan khusus berkaitan status bantuan SPZAS yang telah dihantar hanya dibuka bermula 2 Januari 2022.

Muat Turun Borang Sokongan

Bil Borang Muat Turun
1 Borang Pengesahan Belajar Muat Turun Borang
2 Borang Pengesahan Pemastautin Muat Turun Borang
3 Borang Pengesahan Pendapatan Muat Turun Borang

** Dengan membuat permohonan zakat ini, anda memahami dan telah membaca syarat-syarat kelayakan yang dinyatakan dan bersetuju untuk Lembaga Zakat Selangor memproses Data Peribadi bagi tujuan permohonan bantuan zakat.

Pin It on Pinterest

Share This