• Kutipan Zakat
  • Kembali
  • Zakat Pendapatan
  • Zakat Pelaburan
  • Zakat Emas & Perak
  • Zakat Simpanan
  • Zakat Perniagaan
  • Zakat KWSP
  • Hutang
  • Gabungan Nisab Emas
  • Takaful
  • Zakat & Cukai
Expand All | Collapse All
  • 1. Apakah pengertian zakat pendapatan?
     

    Zakat pendapatan terbahagi kepada empat dan berikut merupakan pengertian zakat pendapatan (Al Mal Al Mustafad)

    i. Zakat Harta Penggajian dan Upah Kerja

    Ia bermaksud “Harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya untuk pihak lain sama ada kerajaan, swasta atau individu dengan melakukan sebarang usaha dalam bentuk fizikal, sumbangan idea atau kedua-duanya dalam tempoh yang dipersetujui bersama, sama ada secara tahunan, bulanan, mingguan, harian atau jam.”
    Contoh :
    (a) Gaji
    (b) Upah
    (c) Bonus
    (d) Tuntutan Kerja Lebih Masa
    (e) Gratuiti
    (f) Pampasan
    (g) Pencen
    (h) Hadiah, anugerah & insentif
    (i) ESOS (Skim Pilihan Saham Pekerja)
    (j) Apa-apa yang bersumberkan perkhidmatan atau penggajian.

    Walau bagaimanapun, pendapatan dari sumber-sumber berikut tidak perlu dizakat kerana ianya tidak termasuk di dalam kategori pendapatan. Sebaliknya ia diperolehi sebagai ganti pendahuluan kos yang terpaksa ditanggung oleh individu dalam menjalankan tugas atau kerja yang dilakukan. Pendahuluan tersebut dibayar menggunakan gaji pekerja yang telah dibayar zakat. Sekiranya diwajibkan zakat, maka akan berlaku zakat sebanyak 2 kali.

    Contoh :
    (a) Tuntutan Lojing
    (b) Tuntutan Ke Luar Negara
    (c) Tuntutan Keraian
    (d) Tuntutan Perbatuan
    (e) Tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan dengan pekerjaan

    ii. Zakat Harta Pemberian Atau Sumbangan

    Ia bermaksud “Harta yang diperolehi oleh seseorang bukannya hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya. Ia merupakan pemberian yang diterima samada daripada individu atau institusi dalam tahun semasa ”

    Contoh :
    (a) Hibah
    (b) Hadiah
    (c) Saguhati
    (d) Pencen Pasangan
    (e) Sedekah
    (f) Pampasan
    (g) Harta Pusaka
    (h) Harta Wasiat
    (i) Mahar Perkahwinan

    Dalam kes penerimaan harta pusaka / wasiat, ianya dikenakan zakat apabila harta tersebut dalam bentuk tunai dan seumpamanya.Manakala penerimaan harta pusaka dalam bentuk harta tetap (al ‘aqar) atau harta yang tiada zakat pada ‘ainnya, maka tidak perlu dikenakan zakat.

    iii.Zakat Harta Hasil Kerja Bebas
    Iaitu harta yang diperolehi oleh seseorang hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya sendiri tanpa ada kaitan dengan pihak lain dalam bentuk kerja bebas atau perkhidmatan profesional.

    Contoh :
    (a) Bayaran perkhidmatan konsultansi profesional.
    (a1) Bayaran kepada peguam atas khidmat guaman yang diberikan.
    (a2) Bayaran kepada arkitek atas khidmat yang diberikan.
    (a3) Bayaran kepada doktor klinik swasta atas rawatan yang diberikan.

    (b) Bayaran projek yang diterima oleh kontraktor.
    (c) Keuntungan projek bermusim.
    (d) Komisyen dan Residual income – pendapatan dari jualan insuran, takaful, unit trust, broker dan seumpamanya.
    (e) Bayaran royalti atau komisen yang diterima daripada hasil penulisan, penerbitan, aktiviti seni dan sebagainya.

    iv. Zakat Hasil Harta Mustaghallat

    Iaitu segala harta yang diperolehi daripada harta yang tidak diwajibkan zakat tetapi mendatangkan pulangan atau pendapatan dengan cara sewaan atau jualan hasilnya.

    Contoh :
    (a) Hasil sewaan rumah, bangunan, kilang, premis perniagaan dan sebagainya.
    (b) Hasil sewaan kenderaan atau pengangkutan.
    (c) Hasil sewaan peralatan, aset atau sebagainya.
    (d) Hasil yang dikeluarkan oleh binatang ternakan seperti susu, telur, madu dan sebagainya yang dijual.

  • 2. Apakah syarat wajib zakat pendapatan?
     

    Zakat Pendapatan wajib dikeluarkan zakat berdasarkan syarat-syarat berikut:

    1. Islam
    2. Pemilikan sempurna
    3. Harta yang berkembang
    4. Cukup nisab
    5. Cukup Haul
    6. Melebihi Keperluan Asasi

    Walaubagaimanapun haul tidak disyaratkan ke atas al-Mal al-Mustafad. Athar sahabat dan tabi’in(Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas’ud, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, dan Umar bin Abdul Aziz) :

                                            “فِي الرِّجَلِ يَسْتَفِيدُ مَالاً قَالَ يُزَكِّيهِ حِينَ يَسْتَفِيدُه”
    Maksudnya :“Seseorang yang memperolehi al-Mal al-Mustafad wajib zakat semasa diperolehi.”
  • 3. Berapakah kadar zakat pendapatan?
     

    Kadar zakat adalah sebanyak 2.5% berasaskan tahun Qomariah dan 2.577% berasaskan tahun Masihi.

  • 4. Apakah sandaran yang mengatakan kadar zakat pendapatan sebanyak 2.5%?
     

    Kadar zakat pendapatan sebanyak 2.5% adalah berpandukan kepada kadar zakat emas. Ini kerana gaji dan pendapatan bebas itu diterima dalam bentuk mata wang/nilai wang.

    Saidina Ali r.a. telah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham. dan tidak diwajibkan mengelurkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya, diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.” (Riwayat Abu Daud)

  • 5. Bilakah fatwa wajib zakat pendapatan di Selangor diwartakan?
     

    Ia telah diwartakan pada 9 Mei 2002 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 yang berbunyi:

    1. Zakat pendapatan hukumnya adalah wajib ke atas umat Islam.
    2. Semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di Selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada Pusat (Lembaga) Zakat Selangor.
  • 6. Adakah wajib qada' zakat pendapatan sebelum tahun 2002?
     

    Oleh kerana zakat pendapatan difatwakan kewajipannya pada tahun 2002, maka umat Islam tidak wajib untuk menunaikannya bagi tahun sebelum 2002 dan tidak perlu di qada’.

  • 7. Bagaimanakah cara pengiraan zakat pendapatan ?
     

    Terdapat dua garis panduan mengira zakat pendapatan sama ada:

    1. 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab) atau
    2. Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan asas yang dibenarkan (berdasarkan kaedah penolakan Had Kifayah dan penolakan yang dibenarkan). Ini adalah kiraan lebih tepat.
  • 8. Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber haram? Apakah contoh sumber haram tersebut?
     

    Tidak wajib zakat kerana tidak memenuhi syarat wajib zakat.

    Menurut ulama, harta yang di perolehi dari sumber yang haram adalah haram. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Allah tidak menerima sebarang sedekah dari sumber yang haram.” (Riwayat Imam Muslim)

    Contoh sumber haram tersebut adalah seperti wang rasuah, riba, wang judi dan seumpamanya.

  • 9. Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber yang syubhah?
     

    Tidak wajib zakat kerana wang syubhah lebih hampir kepada sumber haram dan yang meragukan.

  • 10. Adakah pendapatan daripada nyanyian dan lakonan dikenakan zakat?
     

    Sekiranya nyanyian dan lakonan sesuai dengan hukum syarak, maka wajib dikeluarkan zakat.

  • 11. Mengapakah keperluan asas seperti rumah, kereta, bil-bil dan tanggungan lain tidak diambil kira dalam taksiran zakat pendapatan?
     

    Penentuan had kifayah yang dibernarkan telahpun mengambil kira keperluan asasi seperti makanan, pakaian, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan alat keperluan/sokongan pekerjaan.

  • 12. Saya memiliki beberapa rumah sewa di sekitar Shah Alam. Adakah saya wajib mengeluarkan zakat hasil daripada kutipan sewaan, sedangkan pada masa yang sama saya juga perlu membayar hutang rumah kepada bank semasa pembelian rumah tersebut?
     

    Hanya lebihan daripada baki sewa akan dimasukkan dalam kiraan pendapatan lain. Contohnya:

    Contoh Pengiraan: Kutipan sewa rumah sebulan: RM 1,000
    Bayaran ansuran bank sebulan: RM 800
    Baki daripada sewaan: RM 200

    Hanya nilai dari baki sewaan iaitu RM 200 selama setahun iaitu RM 2400 sahaja yang perlu dimasukkan di dalam pengiraan zakat harta mustaghallat dan setelah ditolak kos-kos lain seperti baik pulih rumah dan sebagainya.

  • 13. Adakah bayaran bulanan (nafkah) saya kepada bekas isteri saya sebanyak RM700 sebulan (RM8,400 setahun) boleh diambil kira sebagai tolakan dalam kiraan zakat pendapatan?
     

    Untuk isteri dibolehkan dalam tempoh edah sahaja tetapi untuk anak-anak mengikut kiraan haddul kifayah.

  • 14. Jika saya dan isteri kedua-duanya menanggung anak-anak bagaimana cara penolakan untuk perbelanjaan mereka? Bolehkah dibahagikan kepada dua?
     

    Jika Encik dan isteri bersama-sama menanggung anak, cara penolakan terbaik haddul kifayah ialah dengan cara dibahagikan secara sama rata taksiran kiraan haddul kifayah tersebut.

  • 15. Kenapa ada perbezaan di setiap negeri di dalam menentukan zakat pendapatan itu wajib atau tidak?
     

    Di peringkat kebangsaan, zakat pendapatan telah diputuskan sebagai suatu kewajipan tetapi perlaksanaannya berbeza mengikut pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri kerana zakat adalah di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri.

  • 16. Apakah perbezaan di antara zakat pendapatan dan zakat wang simpanan?
     
    Zakat pendapatan dilihat puncanya dari gaji, hasil kerja bebas, hasil sewaan dan pemberian yang diperolehi pada tahun semasa sahaja.

     

    Para Mufassirin seperti Imam As-Suyuti berpendapat, perkataan “ مَا كَسَبْتُمْ “adalah mubhamah dan memberi makna yang umum merangkumi apa juga jenis pekerjaan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang. Oleh itu, segala harta yang diperolehi daripada apa jua bentuk usaha dan pekerjaan adalah dikira harta yang wajib dikeluarkan zakat.

    Adapun zakat wang simpanan dilihat puncanya dari wang yang telah sedia ada pada tahun sebelumnya. Zakat wang simpanan dikenakan pada baki hujung haul yang mencecah nisab semasa, sementara zakat pendapatan dikenakan kepada jumlah yang berbaki selepas dibuat penolakan untuk had kifayah dan sekiranya bakinya melebihi atau menyamai nisab.

     

  • 17. Adakah wajib bagi seseorang itu mengeluarkan zakat hasil dari kutipan sewaan rumah yang dimilikinya?
     

    Ya, zakat wajib dikeluarkan ke atasnya setelah menolak kos-kos pada tahun semasa dan dikira sebagai hasil mustaghallat dalam kiraan zakat pendapatan.

  • 18. Bolehkah saya membayar zakat pendapatan secara ansuran dan melebihi dari tempoh satu tahun?
     

    Harus membayar zakat secara ansuran dalam masa satu haul. Jika melebihi haul ia dianggap qada’ namun sekiranya berkemampuan wajib disegerakan pembayaran zakat.

  • 19. Saya wajib membayar zakat pendapatan tetapi pada akhir tahun wang telah habis digunakan. Adakah saya masih wajib membayar zakat pendapatan?
     

    Ya, wajib dibayar zakat tersebut secara ansuran sehingga selesai dan ia dianggap sebagai hutang yang perlu disegerakan.

  • 20. Bagaimanakah untuk mengira zakat bagi wang pencen yang diterima setiap bulan?
     

    Mengikut kaedah kiraan zakat pendapatan.

  • 21. Bagaimanakah untuk mengira zakat bagi wang pencen yang diterima setiap bulan?
     

    Ya, harta pemberian dan sumbangan adalah harta yang diperolehi oleh seseorang bukannya hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya. Ia merupakan pemberian yang diterima samada daripada individu atau institusi dalam tahun semasa.

    Contoh :

    1. Hibah
    2. Hadiah
    3. Saguhati
    4. Pencen Pasangan
    5. Sedekah
    6. Pampasan
    7. Harta Pusaka
    8. Harta Wasiat
    9. Mahar Perkahwinan
  • 22. Di dalam format kiraan zakat pendapatan, mengapakah tolakan Tabung Haji (jumlah simpanan dalam tahun semasa) diletakkan selepas zakat pendapatan dijumlahkan?
     

    Ini kerana caruman dan simpanan tahun semasa di Tabung Haji hendaklah digabungkan dengan zakat pendapatan yang diperolehi pada tahun semasa bagi tujuan penentuan nisab sahaja.

  • 23. Saya akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mendapat gaji penuh. Persoalannya, adakah saya perlu membayar zakat pendapatan untuk gaji tersebut? Bagaimana dengan elaun pengajian yang diterima di luar negara?
     

    Wajib membayar zakat. Elaun dan gaji akan dikira seperti zakat pendapatan.

  • 24. Adakah zakat pendapatan wajib dan apakah dalil kewajibannya?
     

    Ya, zakat pendapatan adalah wajib.

    Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Al-Baqarah : Ayat 267)

    Daripada Abu Musa Asyaa`ri R.A : Nabi SAW bersabda “Setiap orang Islam diwajibkan zakat, mereka berkata kepada Rasulullah : Wahai Nabi Allah, kalau kami tidak memiliki harta, bagaimana? Jawab baginda: Berusahalah kamu dengan sepenuh tenaga bagi menyara diri kemudian bayarlah zakat. Mereka berkata lagi : usaha kami tidak berhasil? Jawab baginda: Berilah pertolongan kepada orang yang berhajat. Mereka berkata lagi : Kalau kami tidak berupaya? Sabda baginda: bergiatlah dalam perkara ma’ruf mencegah terjadinya keburukan. Sesungguhnya pekerjaan itu bagi kamu adalah sadaqah (zakat).”

    (Riwayat Bukhari)

  • 1. Adakah wang simpanan di dalam koperasi dikenakan zakat wang simpanan?
     

    Wang simpanan di dalam koperasi merupakan wang pelaburan (saham) dan diwajibkan zakat ke atasnya kecuali koperasi tersebut telah membayar zakat saham untuk ahli-ahlinya. Manakala saham koperasi dikira berdasarkan modal yang dicampurkan dengan dividen/ pulangan hujung haul.

  • 2. Adakah wang yang didapati sebagai pembiayaan daripada Bank Rakyat untuk membeli Amanah Saham Bumiputera (ASB) di wajibkan zakat? Dan bagaimana pengiraannya?
     

    Wang yang didapati daripada pembiayaan secara syarak untuk membeli mana-mana saham dikenakan zakat ke atas pokok/modal asal dan pendapatan pelaburan yang diperolehi dan hendaklah digabungkan dengan harta lain berasaskan nisab emas bagi tujuan kiraan zakat.

  • 3. Saya mohon satu penjelasan mudah serta dalil-dalil mengapa pemegang saham yang terdiri dari pelabur dan peniaga disamakan untuk mengira zakat (PENIAGA SAHAM-share trader)? Bagi yang berlatar belakang Ilmu Perakaunan, ada perbezaan besar antara keduanya. Namun Lembaga Hasil Dalam Negeri pun membezakan mereka.
     

    Betul ada perbezaan pelabur saham dan trader saham. Namun pendekatan yang digunakan lebih melihat kepada ASET berbanding kepada NIAT pelabur. ASET tersebut secara semulajadi diniagakan di pasaran saham maka ia diklasifikasikan sebagai barang dagangan.

    Klasifikasi ini sangat luas merangkumi semua instrumen samada saham, warrant, rights, ETF dan REITs diatas justifikasi kesemuanya diniagakan di bursa. Pendekatan ini mengabaikan pelabur yang “menyimpan” “barang dagangan” kerana pada hakiki hartanya memang sudah berupa “barang dagangan” (harga berubah harian atas faktor penawaran dan permintaan).

    Contoh lain yang kita lihat “aset” dan bukannya “niat” adalah pelabur atau peniaga emas, keduanya-duanya dizakatkan atas harga pasaran emas. Kita melihat kepada barang iaitu “emas” dan bukan niat pelabur. Walaupun niat pelabur untuk menyimpan emas bertahun lamanya, ia tetap dizakatkan atas ‘ainnya iaitu emas.

    Akta Cukai Pendapatan 1967 memfokuskan kepada “pendapatan”, selaras dengan nama Akta tetapi zakat ialah ke atas harta (amwal). Harta boleh berbentuk “stock” seperti emas, barang dagangan dan ternakan atau “inflow” seperti hasil tanaman atau hasil galian.

  • 4. Saya ingin tahu mengapa kaedah mengambil kira nilai saham terendah dalam hujung haul ditukar kepada nilai pasaran pada akhir tahun haul. Andaikanlah kita terima andaian bahawa pelabur dan peniaga saham tidak dibezakan, penilaian stok perniagaan (stock in trade) mengikut prinsip perakaunan dinilai yang terendah antara kos dan pasaran (lower of cost or market). Jika kita gunapakai harga pasaran kemungkinan untung bersih akan di overstated sekiranya harga pasaran tinggi dari kos sebab cost of goods sold akan dikurangkan.
     

    Secara automatik dalam hukum zakat, “barang dagangan” dikira atas harga pasaran. Pendekatan zakat TIDAK semestinya menggunakan pendekatan accounting seperti LCM dan lain-lain. Menurut Dr. Yusuf Al Qaradawi dalam Fiqh Zakah, harga pasaran boleh menggunakan nilai ‘wholesale’.

    Berkenaan samada untung overstated atau understated, keduanya adalah isu prestasi perniagaan setahun iaitu dalam Penyata Untung Rugi. Akan tetapi Zakat Perniagaan adalah ditaksir atas nilai harta dihujung haul (Kunci Kira-Kira) atau secara mudahnya nilai harta perniagaan dihujung haul, bukannya prestasi perniagaan sepanjang haul.

  • 5. Pada pandangan saya, saham yang dipegang sebagai pelabur jangka panjang, tidak berbeza dari simpanan wang di dalam bank. Jika baki hujung haul dalam tahun haul di ambil kira bagi simpanan bank, pemegang saham yang menyimpankan ''wangnya'' dalam saham, sepatutnya dikira seperti simpanan dalam bank juga.
     

    Pandangan LZS, saham (dan segala bentuk instrumen pelaburan di bursa) adalah tidak sama dengan wang. Secara asasnya, wang bukan “barang dagangan” sebaliknya merupakan “medium pertukaran”. Hukum asal bagi zakat wang ialah emas dan perak yang dikembangkan applikasi hukum itu kepada wang. Asasnya “wang” tidak berkembang. Kita labur/ simpan “wang” tersebut dalam instrumen pelaburan/ perniagaan.

    Saham atau pelaburan lain adalah tidak sama dengan wang. Wang di quote dalam Ringgit/ Euro/ USD dan sebagainya tetapi pelaburan di bursa di quote dalam unit, dan unit tersebut mempunyai harga semasa secara “real-time”.

    Fuqaha semasa dalam perbahasan tentang pelaburan saham terbahagi kepada dua qaul atau pandangan. Pertama ialah qias kepada “pelaburan hartanah bukan pertanian” dan kedua, qias kepada “barang dagangan”. TIADA faqih yang mengqiaskan pelaburan saham kepada simpanan wang. Oleh itu pelaburan saham tidak boleh disamakan seperti “pelaburan wang”.

  • 6. Dirujuk Cara Pengiraan dalam brosur zakat saham LZS , dua penjelasan dipohon iaitu 'Keuntungan yang ditunaikan daripada jual-beli setahun RM80,000' dan 'Kos brokerage RM10,000' (bergantung kos sebenar yang dibayar). Soalannya: Apa makna(bergantung kos sebenar yang dibayar) ? Kita tahu brokerage, serta bayaran-bayaran lain seperti duti setem dan clearing fee dipotong oleh stockbroker terus dan jumlahnya dikira atas harga jualan (gross proceeds). Pada pendapat saya, kos sebenar ialah harga belian saham asal, bermakna pembayar zakat boleh tolak kos belian dari net proceeds supaya mendapat keuntungan. Kos brokerage tidak perlu disebut lagi kerana kita ambil net proceeds yang syarikat bayar kepada kita.
     

    Kos brokerage, clearing fee dan seumpamanya itu jika kita “liquidate” semua pelaburan yang masih ada pada tarikh cukup haul. Itulah nilai sebenar setelah tolak semua kos. Secara asas, Zakat Perniagaan ialah “nilai” pada tarikh cukup haul. Dan bukan “untung” sepanjang haul. Cukai ditaksir berasaskan Penyata Untung Rugi tetapi zakat ditaksir berasaskan Kunci Kira-Kira (Balance Sheet).

    Asas Zakat Perniagaan bukan atas keuntungan (jualan tolak kos belian) tetapi ialah nilai barang perniagaan pada hujung haul perniagaan. Ini berdasarkan mafhum sebuah athar iaitu :

    Daripada Abi Amru Ibnu Hammas daripada bapanya, dia berkata: “Dia menjual kulit dan bekas panah daripada kulit. Kemudian Umar Ibn Khattab singgah padaku. Dia bertanya: “Adakah engkau keluarkan sadaqah (zakat) hartamu?” Aku menjawab: “Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya ia adalah kulit.” Umar berkata: ” Taksirlah kemudian keluarkan sadaqahnya”.

  • 7. Kenapa dividen dari pelaburan yang tidak patuh kepada syariah ditolak dari pendapatan-pendapatan yang tersenarai, seperti dalam brosur LZS, tetapi dalam Warta Fatwa tidak ada sebut tentang pendapatan yang tidak patuh syariah?
     

    Asas zakat adalah semua pulangan daripada perniagaan haram atau syubhah tidak dizakatkan, hanya dizakat atas nilai pelaburan asal jika sumbernya adalah bersih. Memang fatwa khusus Zakat Saham yang diwartakan tidak menyebut tentang tolakan sumber yang haram atau syubhah. Tolakan untuk sumber yang haram atau syubhah adalah asas dalam fiqh zakat.

    Ia terdapat dalam fatwa-fatwa yang lain dan prinsip-prinsip ini perlu dipraktiskan secara umum, bukan terhad kepada soalan atau kes asal yang dijelaskan dalam fatwa-fatwa yang lain tersebut.

  • 8. Rujuk brosur LZS tentang Zakat Saham yang tidak tersiar harga (unlisted). Tolong sahkan bahawa jika syarikat tidak tersiar harga telah membayar zakat mengikut salah satu dari kaedah-kaedah yang disebutkan, maka pemegang saham tidak perlu membayar zakat langsung samada ke atas dividen yang diterima dan pelaburan dalam syarikat berkenaan dan sebaliknya jika syarikat tidak membayar zakat?
     

    Dalam semua perniagaan persendirian, jika syarikat sudah bayar Zakat Perniagaan, maka pemegang saham sudah terlepas daripada tanggungjawab Zakat Saham/ Perniagaan. Contoh, jika JOHAR Sdn Bhd sudah membayar zakat perniagaan maka Dato Johar sebagai shareholder JOHAR Sdn Bhd tidak perlu lagi membayar zakat atas pemilikan sahamnya serta dividen yg diterima.

  • 9. Tentang Short term loan portion in long term loan. Kalau perlu ditolak dalam pengiraan current liability mengapa tidak ditolak semua pinjaman kerana semua pinjaman dalam Kunci Kira Kira didefinasikan sebagai hutang yang belum kena bayar lagi (payable but not due) Saya hairan mengapa Accounting concept and principles hendak diguna tetapi dibuat selectively. Kalau short term loan portion dalam long term loan is due by twelve monthly installments, apakah hukumnya?
     

    Current Operating Liabilities ditolak kerana syarikat sudah mendapatkan barangan atau perkhidmatan dalam Haul Taksiran. Contoh: inventori diterima jadi wujud Trade Creditor, bangunan sewa telah diduduki, utiliti telah digunakan, maka wujud Accruals. Iaitu semua MANFAAT telah diterima dalam Haul Taksiran, cuma belum dibayar.

    Current Financial Liabilities secara asas ialah reclassification of Long Term Liabilities to Short Term due to being repayable in next 12 month. Financial Liabilities (FL) yang dibenarkan tolakan ialah yang KENA BAYAR dalam Haul Taksiran, bila kita ambil nilai TUNAI dihujung Haul Taksiran, secara automatik, kita sudah Net Off dengan FL yang sudah dibayar. Jika masih ada FL untuk Haul Taksiran yang masih BELUM dibayar as at Balance Sheet date, maka ia boleh ditolak,tapi bukan FL yang perlu bayar untuk tempoh yg akan datang (but reclassified as Current FL).

    Secara umum, hutang yang boleh ditolak daripada Harta Zakat ialah hutang yang BELUM dan PERLU DIBAYAR PADA tarikh haul. Hutang yang bayarannya untuk tempoh mendatang tidak mengurangkan harta zakat semasa. Secara konsisten, harta zakat yang bakal diterima untuk tempoh mendatang TIDAK DICAMPUR dengan harta zakat semasa.

  • 10. Pelaburan dipasaran modal mengalami kerugian atas kertas (paper loss), kena bayar zakat?
     

    “Kerugian” adalah satu situasi dalam perniagaan atau sebarang usaha ekonomi dimana pulangan yang diterima adalah kurang daripada kos (kewangan dan masa) yang dilaburkan. Akan tetapi secara umum fiqh zakat tidak hanya memandang kepada keuntungan atau kerugian sebagai asas, tetapi turut melihat kepada nilai kekayaan seseorang pada masa hujung haul.

    Seseorang pelabur mungkin mengalami kerugian dimana nilai pelaburannya sejumlah RM2 juta diawal haul telah berkurang kepada RM1 juta pada hujung haul. Namun hakikatnya pelabur tersebut memliki kekayaan “cair” seperti dinar / dirham / matawang yang boleh dibelanjakan sesuka hati (milk tasarruf) pada bila-bila masa dalam sebarang nisbah yang disukainya. Kekayaan bersifat hampir seperti matawang / ‘arud tijarah ini adalah jauh lebih tinggi daripada nlai nisab 85gram emas (RM 14,065 pada 2013).

    Jika dibandingkan dengan zakat ternakan (seperti kambing dan unta yang dizakat secara ittifaq),apa yang dizakati adalah nilai kambing atau unta dihujung haul. Jika sebahagian kambing mengalami penyakit lalu mati, tetapi dihujung haul penternak masih memiliki 100 ekor kambing, selepas kematian 20 ekor dipertengahan haul, kambing yang ada tetap dizakatkan kerana bilangan 100 ekor tersebut telah melebihi nisab kambing iaitu 40 ekor kambing).

    Contoh lain pula, katakan seorang petani memiliki beberapa bidang sawah padi yang hampir masak. Menurut kebiasaan, dia boleh mendapatkan hasil tuaian padi sekitar 10 tan daripada tanah sawahnya. Tetapi pada musim menuai ini, berlaku banjir yang menggelamkan separuh daripada tanah sawahnya. Oleh itu pada musim ini, petani tersebut hanya mendapat hasil sebanyak 4 tan sahaja, dimana beliau kerugian sekitar 6 tan hasil padi yang sudah hampir masak. Akan tetapi petani tersebut tetap wajib menunaikan zakat padi kerana hasil tuaiannya melebihi nisab zakat padi iaitu 1.306 tan.

  • 11. Untuk pelaburan pasaran modal yang hanya diniatkan untuk mendapatkan dividen/pulangan lain, kenapa turut dizakatkan atas nilai prinsipal?
     

    Jumhur fuqaha masakini menetapkan bahawa saham atau pelaburan aktif adalah dizakatkan atas asas ‘arud tijarah manakala saham atau pelaburan pasif dizakatkan atas asas mustaghallat.

    Walaubagaimanapun, LZS menggunakan pandangan yang bukan jumhur dalam isu saham yang disimpan untuk mendapat dividen sahaja iaitu tetap dizakatkan sebagai ‘arud tijarah. Pandangan sebahagian fuqaha semasa yang digunapakai oleh LZS ini telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa pelaburan aktif atau pasif adalah dizakatkan atas ‘illah ‘arud tijarah iaitu zakat atas kedua-dua nilai pokok dan pulangan. Sila klik di sini : Hukum Zakat Pelaburan Saham.

    Antara fuqaha semasa yang berpandangan saham disimpan dizakatkan atas asas ‘arud tijarah adalah Muhammad Abu Zahrah, Abdul Wahhab Khallaf, Abdul Rahman Hasan (rujuk Fiqh Zakat Qaradawi), Dr Abdullah Ibrahim, Prof. Dr. Ali Jum’ah, Shaikh ‘Atiyyah Saqar, Prof Abdul Azim Islahi dan Dr Mohammed Obaidullah.

  • 12. Saham dan pelaburan pasaran modal tiada dalam kitab fiqh mazhab Shafii dan mazhab lain, kenapa perlu dizakatkan?
     

    Pelaburan adalah harta moden yang tidak ada pada zaman awal Islam. Namun ia tetap dizakatkan selaras dengan pandangan jumhur fuqaha masakini yang menetapkan hukum ‘arud tijarah (barang dagangan) atau mustaghallat (harta yang tiada zakat pada ‘ain tetapi memberikan hasil pulangan yang wajib zakat).

    Dalil Al Quran dan As-Sunnah hanya menyebutkan ladang, kebun, binatang ternakan seperti kuda, kambing dan unta sebagai harta kerana itulah harta-harta yang berharga pada masa tersebut. Tetapi zakat bukan hanya tertakluk kepada harta-harta yang disebut dalam Al Quran dan As-Sunnah sahaja. Hukum zakat keatas pelbagai bentuk harta masakini adalah bergantung kepada kaedah qias. Jika sesuatu sesuatu bentuk harta moden menyamai ‘illah kewajiban zakat atas harta-harta yang diwajibkan zakat melalui dalil Al Quran dan As-Sunnah, maka harta moden tersebut akan dizakatkan dan menggunapakai hukum (nisab, kadar & syarat2 lain) harta asal yang dizakatkan.

    Sebagai contoh, walaupun matawang kertas sekarang merupakan fiat money yang tidak wujud dizaman Rasulullah dan fuqaha silam, namun fungsi fiat money sekarang menyamai kegunaan dan fungsi matawang dinar dan dirham pada zaman awal Islam. Oleh itu matawang kertas sekarang tetap dizakatkan mengikut hukum zakat atas matawang dinar dan dirham yang asal iaitu sebagai intrinsic money. Pada zaman Rasulullah s.a.w, unta dan kambing merupakan komoditi bernilai yang boleh dibelanjakan, tetapi pada zaman ini, pelaburan dipasaran modal juga merupakan komoditi bernilai yang boleh dibelanjakan (tasarruf) dalam nisbah tertentu dan spesifik pada bila-bila masa.

  • 13. Pembelian pelaburan melalui pinjaman, kena zakat?
     

    Pelaburan pasaran modal merupakan satu bentuk kekayaan masakini. Ianya boleh dimiliki samada melalui wang milik sendiri ataupun melalui wang yang dipinjam.

    Bagi pelaburan yang dibeli melalui wang pinjaman, nilai bayaran semula pinjaman untuk sepanjang haul taksiran boleh ditolak daripada nilai pelaburan dihujung haul. Contoh pelaburan saham Syarikat XYZ Berhad bernilai RM250 ribu pada hujung haul 2012. Jumlah bayaran balik pinjaman sepanjang haul 2012 adalah RM70 ribu dan baki hutang RM80 ribu akan dibayar pada sepanjang tahun 2013 hingga 2014. Oleh itu kiraan zakat pada hujung haul 2012 adalah :-

    RM250 ribu – RM 70 ribu = RM 180 ribu kemudian darab 2.5%, jadi zakat pelaburan = RM 4,500.

    Hanya bayaran balik hutang untuk tahun taksiran sahaja yang boleh ditolak daripada harta zakat pada hujung haul. Hutang yang perlu dibayar pada haul-haul yang mendatang tidak boleh ditolak daripada harta kena zakat tahun semasa1.

    Pendapat yang rajih dalam mazhab Shafii adalah hutang tidak menghalang atau menggugurkan kewajiban berzakat atau mengurangkan nisab zakat, samada hutang itu tunai atau tertangguh, atau daripada jenis harta yang berada ditangan penghutang atau tidak.

  • 14. Kenapa LZS menggunakan asas ‘arud tijarah, sedangkan jumhur fuqaha masakini menggunakan asas mustaghallat untuk hukum zakat atas portfolio pasif?
     

    Portfolio pelaburan di pasaran modal tidak sama dengan pelaburan harta tetap seperti hartanah kerana sebab-sebab berikut :

    1. Benda yang diniagakan setiap masa (intrinsic traded commodity samada dengan atau tanpa niat dipihak pelabur)
    2. Niat tidak sepenuhnya relevan. Ini kerana bila harga bersesuaian atau pelabur terdesak, niat & transaksi jualan boleh berlaku spontan dalam nisbah yang divisible. Ini tidak berlaku dalam pelaburan hartanah.
    3. Mempunyai harga yang khusus dan mudah diketahui pada setiap masa. Dalam konteks moden, harga diketahui secara real-time. Ini juga tidak berlaku dalam pelaburan hartanah dimana memerlukan penilai dan harga yang negotiable.
    4. Boleh menjadi medium pertukaran menggantikan tunai dalam urusniaga di pasaran modal. Saham boleh menggantikan tunai dalam transaksi beli syarikat samada sepenuhnya tunai atau melibatkan pertukaran saham (share swap). Selain itu gabungan saham & instrumen hutang juga boleh digunapakai oleh sesebuah syarikat semasa membeli syarikat lain (acquisition). Medium pertukaran dan pengukuran harga merupakan ‘illah zakat wang emas dan perak seperti disebut dalam kitab Ar-Risalah oleh Imam Shafii.
    5. Boleh di terima sebagai alat cagaran utk mendapatkan fasiliti pinjaman (Overdraf dsbg) kerana sifatnya yang diterima umum
    6. Sifat pelaburan di pasaran modal yang ‘cair’ seperti wang menyebabkan tidak adil pemilik wang dikenakan zakat tetapi pemilik pelaburan ‘cair’ yang sentiasa diniagakan di pasaran modal dikecualikan zakat. Kedua-duanya bersifat kekayaan yang boleh dibelanjakan mengikut nisbah yang spesifik, tidak seperti pelaburan hartanah.
    7. Sama seperti wang, pelaburan di pasaran wang mempunyai nilai standard dan boleh dipecahkan (divisibility). Sama seperti asal nisab 20 dinar bersamaan 200 dirham, ataupun nisab matawang 200 dirham bersamaan separuh daripada nilai nisab kambing, iaitu 40 ekor kambing (Fiqh Zakat Qaradawi pg 156).
  • 1. Adakah perhiasan emas dan perak dikenakan zakat?
     

    Ya, perhiasan emas dan perak wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Bagi perhiasan emas wanita, kewajiban zakat hanya dikenakan sekiranya melebihi uruf (adat pemakaian setempat). Ini adalah berdasarkan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

    “…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya (zakat) pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

    (Surah al-Taubah: ayat 34-35)

    Begitu juga dengan Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada Muslim yang bermaksud:

    “Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.”

    (Riwayat Muslim)

  • 2. Adakah emas perhiasan yang dipakai tidak dikenakan zakat?
     

    Ya, barang kemas yang dipakai tidak melebihi 800 gram (uruf). Namun lebihan daripada uruf hendaklah dizakatkan.

  • 3. Berapakah nisab zakat emas dan berapakah kadar yang dikenakan zakat?
     

    Nisab zakat emas ialah 85 gram. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, wajib dikenakan zakat. Kadar zakat emas ialah rubu’ al-‘usyur iaitu satu perempat puluh atau dua setengah peratus (1/40 atau 2.5%).

  • 4. Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?
     

    Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat dan hendaklah digabung dengan harta lain yang berasaskan nisab emas seperti simpanan dan pelaburan.

  • 5. Saya memiliki beberapa utas rantai emas tetapi saya gadaikan untuk membuat modal perniagaan. Adakah wajib membayar zakat bagi rantai emas yang digadaikan itu?
     

    Wajib. Emas yang digadai adalah milikan sempurna dan wajib dizakatkan setelah ditolak nilai pinjaman dan upah simpan.

    Kaedah kiraan zakat = [ (Berat emas gadaian/cagaran x harga semasa) – nilai pinjaman – upah simpan ] x 2.5%

  • 6. Berapakah nisab zakat perak?
     

    Nisab zakat perak sebanyak 200 dirham (595 gram).

  • 7. Bagaimanakah kaedah pengiraan
     

     

    • Zakat emas perhiasan (اَلْحُلِّى)
    • Zakat emas bukan perhiasan (غَيْرُالحُلِّى)
    • Emas yang digadaikan
    • Zakat PerakKaedah pengiraan adalah seperti berikut :
      • Zakat emas perhiasan (اَلْحُلِّى). Wajib ke atas lebihan daripada uruf (uruf semasa ialah 800 gram).Kaedah pengiraannya adalah:

        [(Berat emas –berat uruf x harga semasa)] x 2.5% = Jumlah zakat

        Contoh:
        Berat emas yang dimiliki : 900 gram
        Uruf : 800 gram
        Harga emas semasa/gram (30 April 2013) : RM 144.38

        (900 – 800) gram x RM144.38 = RM14,438.00 x 2.5% = RM360.95

         

      • Kaedah pengiraan zakat emas bukan perhiasan (غَيْرُالحُلِّى). Zakat emas bukan perhiasan hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan emas yang disimpan adalah sama atau melebihi nisab (≥85 gram).Kaedah pengiraannya adalah:

        Berat emas x harga semasa emas x 2.5% = Jumlah Zakat

        Contoh:
        Berat emas yang dimiliki : 50 gram syiling emas dan 50 gram sijil pelaburan emas di institusi perbankan / pelaburan Islam.
        Harga emas semasa/gram (30 April 2013) : RM 144.38

        100 gram x RM144.38 = RM14,438.00 x 2.5% = RM360.95

         

      • Kaedah pengiraan zakat emas bercagar. Wajib dizakatkan setelah ditolak nilai pinjaman dan upah simpan.[(Timbangan emas x harga semasa) – nilai pinjaman – upah simpan] x 2.5% = Jumlah Zakat.
        [(200 gram x RM144.38 = RM28 876 )] – RM 10,000 – RM 76 ] x 2.5% =RM 470.
      • Kaedah pengiraan zakat perak. Bagi logam perak (sama ada yang dipakai atau disimpan), zakat hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan perak adalah sama atau melebihi (>595 gram).Kaedah pengiraannya ialah:

        Berat perak x harga semasa perak x 2.5% = Jumlah Zakat

        Berat perak : 600 gram
        Harga semasa perak (30 April 2013) : RM2.45.

        600 gram x RM2.45 = RM1,470.00 x 2.5% = RM36.75.

     

  • 8. Semasa ibu saya meninggal, beliau ada meninggalkan emas perhiasan pada saya sebanyak 900gram. Saya layak untuk membayar zakat tetapi tidak mampu untuk membayarnya. Adakah saya perlu menggadai separuh dari barang kemas itu untuk membayar zakat?
     

    Ya, zakat harus dibayar sama ada menggunakan wang sendiri atau menggunakan wang setelah digadai emas tersebut.

  • 9. Adakah emas yang disimpan di dalam bank perlu dizakatkan?
     

    Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.”

  • 10. Ibu saya mempunyai emas yang sudah cukup syarat untuk dizakatkan. Tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat mengeluarkan zakat. Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Daripada sumber mana yang perlu digunakan untuk membayar zakat tersebut?
     

    Waris perlulah melunaskan bayaran zakat tersebut dengan menggunakan duit si mati sebelum harta peninggalannya difaraidkan.

  • 11. Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan?
     

    Ya, emas perhiasan yang disimpan wajib dikeluarkan zakat dan hendaklah digabungkan dengan harta lain berdasarkan nisab emas seperti simpanan dan pelaburan. Sekiranya gabungan ini melebihi nisab barulah dikenakan zakat.

  • 12. Adakah perlu dizakatkan bagi emas atau perak yang dijadikan jongkong emas atau yang dibuat pinggan mangkuk, piala, pingat, cenderamata dan lain-lain?
     

    Bijih emas atau bijih perak atau emas atau perak yang telah dilebur dan dijadikan jongkong-jongkong emas atau perak atau yang telah dijadikan perhiasan atau perkakas rumah seperti pinggan mangkuk, sudu dan lain-lain adalah wajib zakat pada tiap-tiap tahun     jika cukup syarat.

  • 13. Adakah perhiasan emas dan perak yang dipakai oleh lelaki diwajibkan zakat seperti jam diperbuat emas?
     

    Ya, wajib orang lelaki yang memakai itu mengeluarkan zakat jika mencukupi syarat iaitu melebihi berat 85gram dan cukup haul. Walaubagaimanapun haram bagi lelaki memakai perhiasan emas.

  • 14. Adakah emas pun wajib dizakatkan?
     

    Ia wajib dikenakan zakat iaitu zakat emas bukan perhiasan wanita.

  • 15. Pn Siti memiliki emas perhiasan seberat 820 gram.Uruf emas perhiasan di negeri Selangor ialah 800 gram. Hanya lebihan daripada uruf sahaja iaitu 20 gram wajib dizakatkan. Perlukan lebihan 20 gram ini dicampurkan dengan emas bukan perhiasan (gold bar, syiling emas) untuk mengira zakat emas.
     

    Ya, lebihan 20 gram ini perlu dicampur dengan emas bukan perhiasan. Katakan berat emas bukan perhiasan tersebut 70 gram, maka jumlah nilai 90 gram emas ini perlu dikeluarkan zakatnya.

  • 16. Apakah sandaran kadar uruf emas di Selangor yang digunakan pada masa ini?
     

    Sandaran berdasarkan kepada kajian pengguna-pengguna emas di Selangor. Keputusannya telah diputuskan oleh Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Selangor setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang diwartakan pada 23 Jun 2005.

  • 17. Apakah hukum zakat terhadap pelaburan emas tidak patuh Syariah?
     

    Jika pelaburan emas tersebut diakhiri dengan qabd (terimaan) maka diwajibkan zakat ke atas jumlah modal pelaburan sahaja.

  • 18. Siti membeli emas bar seberat 100 gram secara ansuran daripada syarikat Kajang Gold. Kajang Gold menawarkan pelan pembayaran ansuran selama 12 bulan dan mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 0.5%. Siti membayar ansuran bulanan sebanyak RM1000. Setelah pembayaran terakhir diselesaikan, syarikat Kajang Gold hanya menyerahkan emas bar 50 gram sahaja kepada Siti. Apakah status kewajipan zakat keatas emas yang dibeli oleh Siti?
     

    Diwajibkan zakat ke atas 50 gram sahaja dari emas yang diterima dengan cara dicampurkan ia bersama-sama dengan harta yang lain berasaskan nisab emas seperti simpanan dan pelaburan. Sekiranya nilai gabungan menyamai dan melebihi nisab emas maka barulah dikenakan zakat dengan kadar 2.5%

  • 19. Atan memiliki emas berbentuk syiling dan bar seberat 90 gram, pada masa yang sama Atan membeli 4 keping dinar Kelantan secara ansuran selama 7 bulan. Setelah berlalunya setahun Atan memiliki 90 gram emas dan 4 keping dinar Kelantan. Bagaimanakah cara zakat emas Atan dikeluarkan?
     
    1. 1. (90 gram x harga emas semasa) x 2.5% = A
    2. 2. (Berat 4 keping dinar emas x harga emas semasa) x 2.5% = B
    3. 3. A + B + harta lain berasaskan nisab emas seperti simpanan dan pelaburan x 2.5 % = Jumlah zakat.
  • 20. Ali telah menyertai pelaburan emas dengan Syarikat Zola yang menjanjikan pulangan bulanan. Ali membeli 100 gram emas secara tunai dan Syarikat Zola akan menyerahkan emas tersebut setelah sampai tempoh matang iaitu 12 bulan. Dalam tempoh menunggu, Syarikat Zola memberi hibah (hadiah) daripada duit yang Ali bayar sebanyak RM1500 sebulan. Setelah sampai tempoh matang, Syarikat Zola menyerahkan 100 gram emas kepada Ali. Adakah emas yang diterima oleh Ali wajib dizakatkan?
     

    Diwajibkan zakat keatas emas yang diterima walaupun pelaburan tersebut tidak patuh syariah (akad fasid)

    Jumlah zakat pada hujung haul = 100 gram x harga emas semasa x 2.5%.

  • 21. Adakah emas di dalam akaun emas tanpa fizikal wajib dizakatkan?
     

    Tidak wajib zakat, kerana jual beli emas di dalam akaun emas tanpa fizikal kerana pelaburan tersebut tidak patuh syariah (akad batl), hanya modal adal pelaburan sahaja dikenakan zakat dan dikira sebagai wang simpanan.

  • 22. Leman telah membuka akaun emas di bank konvensional dengan belian permulaan 30 gram. Setiap bulan, Leman istiqomah menambah caruman akaun emasnya. Setahun kemudian, Leman memiliki 88 gram dalam akaun emasnya. Setelah mendengar ceramah mengenai pelaburan emas dalam Islam, barulah Leman mengetahui dan memahami hukum sebenar pelaburan emas tanpa fizikal adalah haram. Apakah yang perlu dilakukan oleh Leman?
     

    Tidak wajib zakat, kerana akaun emas tanpa fizikal tersebut tidak patuh syariah(akad batil), hanya modal adal pelaburan sahaja dikenakan zakat dan dikira sebagai wang simpanan

  • 23. Wong Fei Hong seorang lelaki muallaf yang sudah setahun memeluk Islam,Dia memiliki dan memakai gelang emas yang beratnya 100 gram. Adakah wajib Wong Fei Hong mengeluarkan zakat emas tersebut sekiranya melebihi setahun?
     

    Ya, wajib. Pengharaman memakai emas perhiasan ke atas lelaki tidak bermakna menggugurkan kewajipan zakat ke atas emas perhiasan yang dipakai oleh lelaki dan beliau wajib mengeluarkan zakat emas tersebut yang bukan lagi merupakan zakat perhiasan tetapi dihukumkan sebagai zakat emas simpanan.

  • 24. Adakah pelabur wajib mengeluarkan zakat atas emas yang dibelinya daripada broker FOREX?
     

    Pembelian emas daripada broker FOREX adalah transaksi tidak patuh syariah namun wajib dikeluarkan zakat simpanan ke atas modal pokok tersebut dan hendaklah dicampurkan dengan harta lain berasaskan nisab emas seperti simpanan dan pelaburan bagi kiraan zakat.

  • 1. Apakah pengertian zakat perniagaan?
     

    Zakat yang diwajibkan ke atas aset perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, carigali, peruncitan, perdagangan import/eksport perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan, perbankan kewangan dan sebagainya.

    Perniagaan tersebut sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan pelbagai bentuk syarikat, koperasi dan sebagainya. Perniagaan tersebut merangkumi pemilikan swasta atau kerajaan.

  • 2. Adakah benar zakat perniagaan mempunyai syarat-syaratnya tersendiri dan bukannya terhad kepada lima syarat wajib zakat yang biasa?
     

    Syarat umum wajib zakat ada lima iaitu Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul. Namun dalam satu-satu jenis zakat kadangkala terdapat syarat wajib ditambah dan begitu juga dengan zakat perniagaan. Oleh itu seorang peniaga diwajibkan membayar zakat perniagaan apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

    1-Islam
    2-Merdeka
    3-Modal perniagaan yang halal dan begitu juga aktivitinya
    4-Genap haul yang dikira dari tarikh perniagaan dimulakan hingga genap setahun perniagaan
    5-Cukup nisab pada akhir haul (tahun)
    6-Menjalankan perniagaan
    7-Milik sempurna dan boleh melakukan tasarruf[1]
    8-Niat (bermaksud) untuk berniaga

  • 3. Apakah dalil wajib zakat perniagaan?
     

    Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
    “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”
    (Surah al-Baqarah ayat 267)

    Hadis Nabi S.A.W. sebagaimana dinyatakan oleh Samurah R.A. yang bermaksud:

    “Maka sesungguhnya, Rasulullah S.A.W. menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta yang kami sediakan untuk dijual…”
    (Riwayat Abu Daud)

  • 4. Apakah dalil wajib zakat perniagaan bagi syarikat?
     

    Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:
    “Dan tidak boleh dicampur ternakan yang telah terpisah. Begitu juga tidak boleh dipisah-pisahkan ternakan yang telah bercampur disebabkan takut mengeluarkan zakat. Adapun bagi dua orang yang bercampur ternakannya, hendaklah di selesaikan (zakat) berdasarkan nisbah.
    (Riwayat al-Bukhari)

    Dalil tersebut menunjukkan bahawa semua jenis perniagaan orang Islam wajib dikeluarkan zakat apabila cukup syarat-syaratnya.
    Terdapat pelbagai jenis pemilikan perniagaan yang bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pengeluaran dan pengagihan barang-barang dan perkhidmatan iaitu:
    1-Perniagaan persendirian (tunggal)
    2-Perniagaan secara perkongsian
    3-Perniagaan syarikat
    4-Koperasi

  • 5. Bagaimanakah kaedah pengiraan zakat perniagaan?
     

    Terdapat 2 kaedah yang boleh digunakan iaitu:

    1. Kaedah Modal Berkembang (Growth Capital)
      Ia mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber-sumber pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Dalam istilah yang lebih ringkas ialah modal dicampurkan dengan keuntungan.Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Bukan Semasa + /- Pelarasan = Harga Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat
    2. Kaedah Model Modal Kerja (Working Capital)
      Ia mengambil kira kedudukan harta semasa perniagaan, ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat sama ada dengan mencampurkan item-item yang telah dikenal pasti perlu ditambah atau membuat tolakan.Aset Semasa – Liabiliti Semasa +/- Pelarasan = Harga Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat
  • 6. Adakah harus bagi seseorang peniaga mengeluarkan zakat dengan menggunakan zat barang perniagaan atau dengan mata wang?
     

    Harus kedua-duanya. Tetapi digalakkan menggunakan mata wang. Ini adalah berdasarkan Riwayat Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah S.A.W. berkata kepada al-Hammas yang bermaksud:

    “Keluarkanlah zakat hartamu.” Hammas menjawab : Aku hanya memiliki beberapa guni kulit.” Baginda menjawab: “Kirakan nilainya kemudian keluarkanlah zakat (dari barangan tersebut). Zakat juga harus dikeluarkan dalam bentuk barangan (mata benda) dari jenis harta yang diperniagakan.”
    (Riwayat Imam Ahmad)

  • 7. Apakah perbezaan antara cukai korporat dan zakat?
     

    Zakat telah ditentukan kewajipannya oleh Allah S.W.T. sedangkan cukai ditentukan oleh pemerintah (kerajaan).

  • 8. Mengapa zakat perniagaan tidak dikira berdasarkan keuntungan?
     

    Asas zakat perniagaan bukan atas keuntungan (jualan tolak kos belian) tetapi ialah nilai barang perniagaan pada hujung haul perniagaan. Ini berdasarkan mafhum sebuah hadis iaitu :

    Daripada Samurah bin Jundub :

    كانَ رسول ُاللَّه ِصلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ يأمُرُناأن نُخْرِجَ الصَّدقةَ من الَّذي نعدُّهُ للبيعِ

    (رواه ابوداود و دارقطني)  

    “Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta benda yang kami sediakan untuk dijual.”

    (Riwayat Abu Daud dan Daruqutni)

  • 9. Jika perniagaan saya mengalami kerugian,adakah wajib saya membayar zakat perniagaan?
     

    Wajib, ini kerana “kerugian” adalah satu situasi dalam perniagaan atau sebarang usaha ekonomi dimana pulangan yang diterima adalah kurang daripada kos (kewangan dan masa) yang dilaburkan. Akan tetapi secara umum fiqh zakat tidak hanya memandang kepada keuntungan atau kerugian sebagai asas, tetapi turut melihat kepada nilai harta perniagaan seseorang pada masa hujung haul.

    Contohnya Pak Abu memiliki harta perniagaan bernilai RM50,000 namun mengalami kerugian RM10,000 dalam satu urusniaga sebab beliau ditipu. Pada hujung haul, nilai harta perniagaan beliau adalah RM35,000 (melebihi nisab). Oleh itu kiraan zakat perniagaan beliau adalah RM 35,000 darab 2.5%.

    Dalam contoh yang lain, katakan seorang petani memiliki beberapa bidang sawah padi yang hampir masak. Menurut kebiasaan, dia boleh mendapatkan hasil tuaian padi sekitar 10 tan daripada tanah sawahnya. Tetapi pada musim menuai ini, berlaku banjir yang menggelamkan separuh daripada tanah sawahnya. Oleh itu pada musim ini, petani tersebut hanya mendapat hasil sebanyak 4 tan sahaja, dimana beliau kerugian sekitar 6 tan hasil padi yang sudah hampir masak. Akan tetapi petani tersebut tetap wajib menunaikan zakat padi kerana hasil tuaiannya melebihi nisab zakat padi iaitu 1.306 tan.

    Walaubagaimanapun,jika perniagaan sesorang itu mendapat keuntungan pada tahun itu tetapi disebabkan harta perniagaan itu tidak mencapai nisab maka tidak diwajibkan zakat.

    Dalil dan hujah mengeluarkan zakat perniagaan adalah seperti berikut :

    i. Al Quran
    Firman Allah SWT :

    {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الأرْضِ ۖ

    وَلاَ تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِآخِذِيهِ إِلاَّ أَن تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ

    اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ.}

    Maksudnya :
    “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”

    (Surah al-Baqarah ayat 267)

    ii. Hadis
    Daripada Samurah bin Jundub :

    كانَ رسول ُاللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّم َيأمُرُنا أن نُخْرِج َالصَّدقة َمن الَّذي نعدُّهُ للبيعِ

    (رواهابوداودودارقطني)

    Maksudnya :

    “Sesungguhnya Rasulullah SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada harta benda yang kami sediakan untuk dijual”

    iii. Athar
    Daripada Abu‘Amru ibn Hammas daripada bapanya, ia berkata:

    “Dia menjual kulit dan bekas panah dari kulit. Kemudian Umar ibn al-Khattab singgah padaku. Dia bertanya: “Apakah engkau keluarkan zakat hartamu?” Aku menjawab: “Ya Amirul Mukminin,sesungguhnya ia adalah kulit.” Umar berkata: “Taksirlah kemudian keluarkan zakatnya”

  • 1. Apakah dalil kewajipan zakat KWSP?
     

    Dalil wajib zakat KWSP adalah dalil wajib zakat simpanan secara amnya.

    Firman Allah SWT:

    وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلاَ يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

    ۖيَوْمَ يُحْمَىٰ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ

    .هَٰذَا مَا كَنَزْتُمْ ِلأَنفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنتُمْ تَكْنِزُونَ

    Maksudnya:

    “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

    (Surah al-Taubah ayat 34 -35)

  • 2. Saya telah mengeluarkan KWSP sebanyak RM 17 ribu. 3 tahun berikutnya dikeluarkan lagi RM 15 ribu. Berapakah jumlah zakat KWSP yang perlu dikeluarkan?
     

    Kedua-duanya wajib zakat pada masa ia dikeluarkan dengan kadar 2.5%
    RM 17,000 x 2.5% = RM 425 dan RM 15,000 x 2.5% = RM 375. Jumlah zakat ialah RM 550.

  • 3. Adakah dikenakan zakat KWSP jika wang dikeluarkan secara bulanan untuk membayar rumah dan wang tersebut dibayar kepada bank oleh KWSP?
     

    Ya, zakat diwajibkan ke atas keseluruhan jumlah pengeluaran (ditaksir bersama zakat pendapatan yang lain).

  • 4. Adakah dikenakan zakat KWSP jika wang dikeluarkan digunakan untuk pembelian saham seperti skim anuiti, unit trust dan sebagainya?
     

    Wang dikeluarkan bagi tujuan pelaburan wajib dizakatkan apabila pengeluaran boleh dilakukan mengikut syarat umur KWSP.

  • 5. Perlukah pencarum KWSP mengasingkan dividen atau bonus ketika membayar zakat setelah milik sempurna/pengeluaran dilakukan ?
     

    Tidak perlu. Jumlah pengeluaran KWSP yang wajib dizakatkan adalah keseluruhannya (pokok + dividen + bonus) TANPA perlu diasingkan (tidak perlu pembersihan) pulangan dividen atau bonus yang tidak patuh syariah. Ini kerana para penyimpan diwajibkan mencarumoleh pihak kerajaan tanpa ada pilihan (ijbari). Penyimpan juga tidak wajar dibebankan ke atas sesuatu tindakan kerajaan yang di luar kawalan mereka.

    Kaedah fiqh:

    تَصَرُّفُ الْأِمَاِم عَلَى الرَّاعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

    iaitu “tindakan pemerintah terhadap rakyat harus terikut dengan kemaslahatan” membenarkan pengurusan wang rakyat oleh kerajaan mengikut Akta KWSP 1991.

  • 6. Adakah perlu menunggu tempoh setahun untuk membayar zakat KWSP?
     

    Tidak perlu menunggu setahun atau cukup haul.

  • 7. Sekiranya saya mengeluarkan sebahagian wang KWSP, adakah baki yang tinggal dalam akaun KWSP perlu dizakatkan?
     

    Zakat hanya dikenakan ke atas bahagian wang yang dikeluarkan tetapi baki di dalam akaun KWSP tidak wajib dikenakan zakat pada masa itu kerana tidak milik sempurna.

  • 8. Mengapakah wang caruman KWSP yang disimpan tidak wajib zakat?
     

    Wang caruman KWSP yang disimpan tidak wajib dizakat kerana belum sempurna milik dan si pencarum tidak dapat menggunakan wang tersebut.

  • 9. Adakah seseorang itu wajib membayar zakatnya sedangkan orang itu menanggung hutang sejumlah yang hampir sama dengan nilai wang KWSP yang diperolehinya?
     

    Diwajibkan membayar zakat wang KWSP yang diperolehi terlebih dahulu sebelum membayar hutang (jika hutang tersebut adalah hutang tertangguh atau hutang jangka panjang).

  • 10. Merujuk kepada keputusan fatwa bagi KWSP, apakah yang dimaksudkan dengan ayat 'digalakkan mengeluarkan zakat sejurus menerima atau mengeluarkan wang KWSP tersebut jika cukup nisabnya tanpa menunggu haul setahun'. Adakah ia bermaksud pembayar mempunyai pilihan sama ada hendak membayar zakat ataupun tidak?
     

    Merujuk kepada Fatwa Kutipan 2013, “digalakkan” bermaksud wajib dibayar secara serta merta.

  • 11. Adakah zakat yang dikeluarkan daripada KWSP dibayar menggunakan wang KWSP atau sumber wang lain?
     

    Zakat tersebut boleh dibayar menggunakan daripada mana-mana sumber wang yang halal.

  • 12. Mengapakah ketetapan zakat KWSP dibahagi mengikut ketetapan umur sebelum 55 tahun, semasa atau mencapai umur 55 tahun dan selepas umur 55 tahun?
     

    Ini kerana setiap peringkat umur itu tahap pemilikan sempurna keatas wang KWSP adalah berbeza-beza.

  • 13. Bagaimanakah kaedah taksiran zakat KWSP ketika pengeluaran umur sebelum 55 tahun.
     

    Jika pembayar zakat layak untuk membayar zakat pendapatan maka setiap pengeluaran wang KWSP wajib dizakatkan keseluruhannya. Jika pembayar tidak layak untuk membayar zakat pendapatan maka jumlah pengeluaran hendaklah ditaksir mengikut zakat pendapatan.

  • 14. Bagaimanakah kaedah taksiran zakat KWSP ketika umur telah mencapai 55 tahun?
     

    Jika pembayar zakat layak untuk membayar zakat pendapatan maka seluruh jumlah wang KWSP wajib ditaksirkan sebagai zakat simpanan.

  • 15. Bagaimanakah kaedah taksiran zakat KWSP ketika umur telah melebihi 55 tahun?
     

    Jika seseorang itu tidak lagi mencarum maka seluruh simpanan KWSP akan ditaksir sebagai wang simpanan. Walaubagaimanapun jika masih ada caruman maka tolakan caruman tersebut tidak boleh ditolak dalam taksiran zakat pendapatan kerana telah memenuhi syarat pemilikan sempurna.

  • 1. Adakah hutang WAJIB untuk dizakatkan?
     

    Ya, hutang wajib dizakatkan tetapi tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

  • 2. Kepada penghutang / penerima hutang, apakah jenis hutang yang boleh ditolak daripada harta wajib zakat?
     

    Hutang yang tertunggak dan perlu dibayar segera pada tarikh haul.

  • 3. Encik Ali memberi hutang kepada Encik Ahmad sebanyak RM 17 000 dengan perjanjian bahawa Encik Ahmad akan menggantikan semula wang tersebut selepas setahun 3 bulan. Ali sangat meyakini Ahmad mampu dan akan menggantikan semula wang yang diberi pinjam kepadanya pada tempoh yang dijanjikan. Apabila genap setahun haul, perlukah Ali mengira wang tunai yang telah diberikan hutang kepada Ahmad iaitu RM 17 000 untuk dikeluarkan zakat ke atasnya? Sekiranya ya, berapakah jumlah zakat yang perlu dikeluarkan oleh Encik Ali?
     

    Ya, Ini kerana RM 17 000 tersebut adalah masih lagi miliknya yang sempurna dan jumlah kiraan zakat beliau ialah : RM 17 000 x 2.5 % = RM 425.

  • 4. Encik Syahir telah memberi pinjam kepada Encik Harun sebanyak RM 20 000. Encik Harun telah berjanji akan membayarnya selepas setahun. Walaubagaimanapun, selepas beberapa tahun berlalu Encik Harun masih tidak mampu membayar hutang Syahir tersebut. Perlukah Syahir membayar zakat hutang tersebut?
     

    Tidak perlu kerana ia hutang yang tidak diyakini dapat diperolehi dan diketahui bila Encik Harun akan membayar kepada En Syahir semula. Encik Syahir hanya perlu bayar selepas berlalu setahun haul setelah menerima hutang tersebut.

  • 5. Encik Samad telah cukup nisab untuk membayar zakat simpanan pada akhir haul tahun ini. Walaubagaimanapun, Encik Samad teringat hutang yang telah dijanjikan untuk dibayar segera kepada Encik Razak. Bolehkah Encik Samad menolak hutang tersebut daripada kiraan zakat simpanannya meskipun ia akan mengurangi nisab zakat simpanannya?
     

    Boleh kerana ianya hutang yang perlu segera dibayar dan tidak boleh tertangguh lagi.

  • 6. Encik Karim berhutang dengan Puan Rina sebanyak RM15 000. Walaubagaimanapun, Puan Rina tidak mendesak Karim untuk membayar hutangnya dengan kadar segera kerana Encik Karim mempunyai prestasi menguruskan kewangan dengan baik lagipun Karim merupakan adik kandung Puan Rina. Pada hujung haul, Karim menjumlahkan semua zakat hartanya dan melebihi nisab. Bolehkah Encik Karim menolak jumlah hutang yang perlu dibayar olehnya kepada Puan Rina dalam kiraan zakat harta tersebut?
     

    En Karim boleh menolak jumlah bayaran hutangnya kepada Puan Rina semasa mengira zakat hartanya kerana pembayaran hutang tersebut wajib dibayar oleh beliau dengan kadar segera.

  • 7. Puan Mimi ingin mengeluarkan zakat ke atas jumlah wang pinjaman peribadi Bank Rakyat yang telah dilaburkannya di dalam bentuk akaun pelaburan di beberapa buah institusi kewangan. Dalam kiraan zakat ke atas wang pinjaman beliau yang telah dilaburkan tersebut, apakah hutang yang boleh ditolak daripadanya?
     

    Jumlah hutang bayaran bulanan pinjaman peribadi beliau pada tahun semasa sahaja.

  • 8. Bagaimanakah cara pengiraan zakat bagi wang yang dipinjam daripada bank yang mengamalkan perbankan islam dan konvensional untuk tujuan pelaburan?
     

    Bagi wang yang dipinjam samada daripada perbankan islam atau konvensional untuk tujuan pelaburan cara pengiraan zakatnya adalah seperti berikut :
    Pada hujung haul :
    (Jumlah wang / pelaburan – hutang ansuran tertangguh) x 2.5%

  • 1. Apakah Zakat Gabungan Nisab Emas?
     

    Zakat Ke Atas Harta Berasaskan Nisab Emas bermaksud segala jenis harta yang mempunyai ‘illah yang sama dengan emas akan dicampurkan kesemuanya bagi tujuan kiraan zakat seperti jumlah wang simpanan di bank-bank/rumah, jongkong/dinar emas, saham dan lain-lain lagi yang digabungkan untuk mencukupkan nisab 85 gram emas.

  • 2. Bagaimanakah kaedah taksiran Zakat Gabungan Nisab Emas?
     

    Kaedah taksiran Zakat Ke Atas Harta Berasaskan Nisab Emas dibahagikan seperti berikut :-

    a)Syarat Tanpa Haul

    • Harta / Pendapatan Asas Nisab Emas – Had Kifayah & Tolakan Lain = Jumlah Pendapatan Kena Zakat (Melebihi Nisab)
    • Jumlah Pendapatan Kena Zakat – Caruman tahun semasa di Institusi yang telah membuat tolakan zakat = Jumlah Pendapatan Wajib Zakat
    • Jumlah Pendapatan Wajib Zakat x 2.5% = Jumlah Zakat

    b) Syarat Haul

    • Harta / Pendapatan Asas Nisab Emas – pelarasan + penentuan kecukupan nisab = Jumlah Harta
    • Jumlah Harta x 2.5% = Jumlah Zakat
  • 3. Apakah kategori harta zakat yang tergolong dalam nisab emas?
     

    3.1 Tanpa Syarat Haul

    • Harta/Hasil Pendapatan
    • Pendapatan dari Perniagaan Milikan Tunggal (Ambilan)
    • Pengeluaran Wang KWSP
    • Hasil/Sumber Pemberian

    3.2 Syarat Haul

    • Emas Perhiasan dan Bukan Perhiasan
    • Wang Simpanan
    • Saham dan Pelaburan
    • Perniagaan Milikan Individu
  • 4. Mengapakah pendapatan dan simpanan dikategorikan sebagai dibawah nisab emas?
     

    Jumhur ulama’ bersepakat meletakkan ia dibawah nisab emas kerana kedua-duanya merupakan medium pertukaran dalam urusan muamalat dan jual beli masa kini.

  • 5. Berapakah nisab yang disandarkan untuk taksiran zakat gabungan nisab emas?
     

    Nisab yang disandarkan untuk taksiran zakat ke atas harta berasaskan nisab emas adalah bersamaan berat 85 gram emas.

  • 6. Apakah syarat zakat yang membezakan jenis-jenis harta / pendapatan dalam taksiran zakat gabungan nisab emas?
     

    Syarat yang membezakan jenis jenis-jenis harta / pendapatan dalam taksiran zakat ke atas harta berasakan nisab emas adalah syarat haul dan tanpa haul.

  • 7. En. Mohd. Ali merupakan seorang kakitangan kerajaan yang memilih skim pencen. Pendapatan setahun beliau ialah sebanyak RM 90 240. Isteri beliau merupakan suri rumah sepenuh masa. Tiga daripada enam anaknya telah bekerja dan mempunyai keluarga sendiri. Manakala dua orang anaknya sedang belajar di IPT awam dan seorang lagi anaknya berumur 6 tahun. Selain daripada menerima gaji, berikut ialah jumlah aset / harta beliau yang tertakluk untuk dizakatkan :
     

    No

    Aset Wajib Zakat

    Jumlah
    1Emas jongkong berat 53gramRM9,500
    2Wang Simpanan di Maybank IslamicRM3,000
    3Wang simpanan di dalam peti besi di rumahRM1,500
    4Saham pelaburan yang disimpan hingga ke hujung haul / tahunRM75,000

    Bagaimanakah langkah – langkah pengiraan zakat untuk En Mohd. Ali?

    a)Bagi pengiraan zakat pendapatan adalah seperti berikut

    • (RM 90 240 – had kifayah) = Jumlah pendapatan (melebihi nisab)
    • Jumlah pendapatan x 2.5% = Jumlah Zakat Pendapatan

    b)Bagi pengiraan zakat harta lain berasaskan nisab emas adalah seperti berikut :

    • (RM 9500 + RM 3000 + RM 1500 + RM 75 000) x 2.5% = Jumlah Zakat
  • 1. Apakah itu nilai tunai (cash value) takaful?
     

    Nilai simpanan/pelaburan yang boleh dikeluarkan daripada polisi takaful tanpa perlu membatalkan polisi takaful.

  • 2. Bagaimanakah pampasan insurans konvensional dizakatkan?
     

    Hanya jumlah caruman sahaja yang wajib dizakatkan sebanyak 2.5%

  • 3. Bagaimanakah nilai tunai (cash value) dizakatkan?
     

    Jumlah simpanan polisi takaful yang boleh dikeluarkan x 2.5%

  • 4. Abdullah telah mencarum di dalam plan takaful keluarga. Sebahagian daripada caruman takaful tersebut akan diletakkan di dalam bahagian simpanan/pelaburan oleh syarikat takaful. Tiba di hujung haul dia ingin membayar zakat simpanan nilai tunai (cash value) polisi takafulnya. Apakah langkah kiraan zakat bagi nilai tunai (cash value) polisi takaful Abdullah?
     

    (Jumlah simpanan – nilai simpanan minimum yang perlu kekal dalam polisi) x 2.5%

  • 5. Puan Zainab baru kematian suami akibat kemalangan jalan raya. Walaubagaimanapun, suaminya sempat mencarum takaful semasa hayatnya dan layak memerima pampasan takaful tersebut. Bagaimanakah zakat ke atas pampasan takaful tersebut setelah dia menerimanya?
     

    Puan Zainab wajib menunaikan zakat pendapatan ke atas pampasan takaful tersebut selepas ditolak untuk penyelesaian hutang simati (hutang zakat/hutang sesama manusia dan lain – lain) dan upah haji sekiranya simati belum mengerjakan fardhu haji.

  • 6. En Zubir menunggang motosikal setiap hari untuk ke pejabat. Setiap tahun beliau akan mencarum takaful sebagai perlindungan jika beliau kemalangan. Walaubagaimanapun, pada tahun berikut beliau menerima semula pulangan tunai disebabkan tiada tuntutan pada tahun sebelumnya. Bagaimanakah zakat En Zubir terhadap pulangan tunai tersebut?
     

    En Zubir wajib menunaikan zakat pendapatan terhadap pulangan tunai tersebut. Jika tidak mencukupi nisab, En Zubir wajib mencampurkan zakat tersebut dengan harta/pendapatan lain untuk mencukupkan nisab.

  • 7. En Azlan mengalami kemalangan ketika pulang dari tempat kerja. Akibat daripada kemalangan itu beliau di sahkan lumpuh dan tidak boleh bekerja. Walaubagaimanapun, beliau merupakan pencarum bulanan takaful dan layak memperolehi manfaat keilatan kekal dan menyeluruh. Bagaimanakah zakat En Azlan apabila beliau mendapat manfaat keilatan kekal dan menyeluruh.
     

    En Azlan wajib zakat pendapatan terhadap pampasan manfaat keilatan kekal dan menyeluruh akibat kemalangan atau sebab penyakit tertentu.

  • 8. Pn Aminah baru kematian suami akibat kemalangan jalan raya. Walaubagaimanapun, suaminya mencarum insurans konvensional semasa hayatnya dan Puan Aminah layak menerima pampasan insurans tersebut. Bagaimanakah zakat terhadap pampasan insurans konvesional tersebut?
     

    Pn Aminah hanya perlu membayar zakat pendapatan untuk bayaran pokok pembeli polisi (semasa hayat suaminya) sahaja. Ini kerana pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris dikira sebagai harta yang tidak patuh syariah dan tidak tertakluk kepada zakat.

  • 9. Isteri En Nazri meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja. Walaubagaimanapun, majikannya ada membuat caruman insurans konvensional kepada kesemua majikannya jika berlaku musibah atau kemalangan. Oleh itu, En Nazri layak mendapat pampasan dari majikan isterinya. Bagaimanakah zakat ke atas pampasan insurans konvensional dari majikan arwah isteri beliau?
     

    En Nazri wajib membayar zakat pendapatan keatas keseluruhan jumlah pampasan daripada insurans konvensional yang telah dicarumkan oleh majikan. Ini kerana pampasan tersebut merupakan hibah dari majikan dan caruman tersebut bukan caruman dari arwah isteri En Nazri.

  • 1. Bolehkah saya mendapat rebat cukai jika saya membayar qada’ zakat?
     

    Boleh. Bayaran zakat atas apa juga jenis (saham / pendapatan / emas / qada dan sebagainya termasuk zakat fitrah) kepada institusi zakat rasmi di Malaysia adalah layak untuk mendapat rebat cukai.

  • 2. Bolehkan saya mendapat rebat cukai untuk bayaran zakat ,jika cukai yang saya kena bayar adalah termasuk tunggakan cukai bagi tahun – tahun sebelumnya?
     

    Bayaran zakat dalam sesuatu tahun boleh menjadi rebat cukai untuk cukai kena bayar bagi tahun bila zakat itu dibayar (tahun semasa).

    Contoh : Qada’ zakat tahun 2010 yang dibayar pada tahun 2013 akan menjadi rebat cukai untuk cukai kena bayar untuk tahun taksiran 2013. Jika cukai kena bayar bagi 2013 termasuk tunggakan cukai 2012, bayaran qada’ zakat pada 2013 tersebut tidak boleh dijadikan rebat untuk tunggakan cukai 2012.

    Ilustrasi : Bayaran Qada’ Zakat 2010 pada tahun 2013

    Tahun Cukai Taksiran2013 (semasa)2012 (tunggakan)2011 (tunggakan)2010 (tunggakan)
    Cukai Kena BayarRM10,000RM15,000RM15,000RM10,000
    Zakat Kena BayarRM7,000N/AN/ARM5,000
    Layak Rebat CukaiRM10,000XXX

    Nota :
    1. Jumlah cukai semasa bersama tunggakan RM50,000.
    2. Jumlah zakat dan qada’ zakat RM12,000.
    3. Rebat cukai RM10,000 sahaja kerana terhad cukai kena bayar tahun semasa 2013.

  • 3. En Rusli ialah pemilik ABC Enterprise ,sebuah perniagaan milikan tunggal,jika ABC Enterprise membayar zakatperniagaan, bolehkah En Rusli menuntut rebat cukai pendapatan individu?
     

    Menurut undang-undang di Malaysia, perniagaan milikan tunggal dan perkongsian bukanlah separate legal entity seperti sebuah syarikat. Perniagaan milikan tunggal dan pemiliknya adalah sama menurut undang-undang. Oleh itu zakat yang dibayar oleh ABC Enterprise boleh menjadi rebat cukai pendapatan untuk En Rusli.

  • 4. En Mizan dan isterinya Pn Siti memiliki syarikat sendirian berhad (Libra Sdn Bhd),pada tahun 2013, Libra SdnBhd membayar zakat perniagaan atas nama syarikat, bolehkah En Mizan menuntut rebat cukai pendapatan beliau?
     

    Tidak boleh. Zakat perniagaan yang dibayar atas nama Libra Sdn Bhd adalah tidak boleh dituntut sebagai rebat cukai oleh En Mizan dan isterinya Pn Siti. Ini kerana menurut undang-undang negara, syarikat adalah sebuah separate legal entity. Bayaran zakat perniagaan Libra Sdn Bhd layak untuk mendapat tolakan cukai sebanyak 2.5% daripada Pendapatan Aggregat syarikat.

  • 5. Abdul Wahab memiliki syarikat sendirian berhad( 3 Abdul Sdn Bhd), bolehkah Abdul Wahab membayar zakat perniagaan atas nama beliau?
     

    Boleh.En Abdul Wahab selaku pemilik Syarikat 3 Abdul Sdn Bhd boleh membayar zakat perniagaan Syarikat 3 Abdul Sdn Bhd menggunakan nama beliau dan seterusnya boleh mendapat rebat cukai pendapatan atas bayaran zakat tersebut. Walaubagaimanapun, Syarikat 3 Abdul Sdn Bhd tidak boleh mendapat potongan cukai perniagaan.

  • 6. En Abu ialah seorang pengurus di syarikat swasta. Kadar cukai Potongan Cukai Berjadual (PCB) bulanan beliau tinggi iaitu 20% daripada pendapatannya.Bolehkah En Abu memindahkan semua PCB beliau kepada zakat bulanan / Skim Potongan Gaji?
     

    Ya, En Abu adalah dibolehkan untuk memindahkan bayaran PCB bulanan kepada bayaran zakat bulanan. Kadar zakat, secara umum, adalah 2.5% namun pembayar dibolehkan untuk membayar lebih daripada amaun yang wajib keatasnya. Namun En Abu tidak digalakkan untuk memindahkan kesemua bayaran PCB kepada zakat atas sebab dua kemungkinan berikut:

    Pertama : PCB bukan cukai muktamad dan ada kemungkinan En Abu boleh mendapat pulangan sebahagian bayaran cukai.
    Kedua : Jika En Abu ada tunggakan cukai tahun-tahun sebelumnya, bayaran lebihan cukai boleh offset tunggakan cukai tahun sebelumnya.

  • 7. Apakah implikasi cukai antara cukai entiti perniagaan dengan zakat atas entiti perniagaan?
     

    Zakat atas entiti perniagaan dikira atas nilai aset semasa bersih / aset cair (selepas disesuaikan dengan prinsip-prinsip zakat). Manakala cukai entiti perniagaan dikira atas keuntungan perniagaan cair (selepas disesuaikan dengan prinsip-prinsip percukaian). Oleh itu,tiada hubungan yang signifikan diantara aset kena zakat (zakatable assets) dengan untung kena cukai (taxable profit).

    Namun undang-undang percukaian di Malaysia membenarkan entiti perniagaan mendapat tolakan cukai terhad kepada 2.5% daripada Pendapatan Aggregat, bagi bayaran zakat yang dibuat oleh entiti perniagaan.