Utama Blog Halaman 40

ZAKAT SELANGOR CAWANGAN PUCHONG AKAN BERPINDAH

0

SHAH ALAM, 2 Mei 2017 – Lembaga Zakat Selangor cawangan Puchong akan berpindah lokasi baru bermula 12 Mei 2017.

Perpindahan ini bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dalam urusan zakat khususnya bagi mereka yang tinggal di sekitar kawasan Puchong.

Orang ramai yang ingin berurusan dengan Zakat Selangor boleh mengunjungi cawangan Puchong di alamat  32G, Jalan Puteri 4/2, Bandar Puteri, 47100 Puchong, Selangor Darul Ehsan. 

Waktu operasi bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari Isnin hingga Khamis. Manakala, pada hari Jumaat pada pukul 8.30 pagi hingga 4.45 petang. 

Hubungi Talian Zakat Selangor 1300 88 5353 untuk maklumat lanjut.

TM SELANGOR SERAH ZAKAT 225 RIBU

0
SHAH ALAM, 4 Mei 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini menerima pembayaran zakat perniagaan dari Telekom Malaysia Berhad (Selangor) berjumlah RM225,141.00 bagi tahun kewangan berakhir 2016.
Cek bayaran zakat tersebut diserahkan oleh Naib Presiden TM Selangor, Datuk Hajjah Zuraidah Mohd Said kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu majlis yang diadakan di ibu pejabat Zakat Selangor.
Hadir sama, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat & Perhubungan Stakeholder, Norajun Ainun Mohd Hashim.

ZAKAT SELANGOR CAWANGAN MASJID KLANG BANDAR DIRAJA BERPINDAH LOKASI BARU

0

SHAH ALAM, 27 April 2017 – Lembaga Zakat Selangor cawangan Masjid Klang Bandar Diraja akan berpindah lokasi di Cawangan Kompleks MAIS, Klang bermula bulan Mei 2017 ini.

Sehubungan itu, orang ramai terutama di sekitar kawasan Klang yang ingin berurusan dengan Zakat Selangor, boleh mengunjungi cawangan Kompleks MAIS di alamat Lot 336, Seksyen 23, Jalan Meru Off Jalan Kapar, 41050 Klang, Selangor Darul Ehsan.

Sebarang pertanyaan, hubungi Talian Zakat Selangor 1 300 88 4343.

MAJLIS MENANDATANGANI MASTER SLA ANTARA ZAKAT SELANGOR DAN TERAS SDN BHD

0

SHAH ALAM, 25 April 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini mengadakan Majlis Menandatangani Master Service Level Agreement (SLA) antara Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) bertempat di Ibu Pejabat Zakat Selangor.

Majlis menandatangani ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali dan Pengerusi TERAS, Dato’ Ibrahim Md. Yusof disaksikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa.

Dengan termetrainya perjanjian ini sekali gus melengkapkan usaha pengukuhan antara Zakat Selangor dan TERAS dalam menjalinkan kerjasama bagi membangunkan asnaf khususnya asnaf fakir dan miskin di negeri Selangor.

965 KELUARGA BERJAYA KELUAR ASNAF

0
KLANG 26 MAY 2016. Orang Besar Daerah Klang Datuk Setia Diraja Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Hussin Mohd Ali (kiri) beramah mesra dengan penerima bantuan zakat Jaafar Mamud 59, dari Bandar Sultan Sueiman, Pelabuhan Klang di majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir dan Miskin Daerah Klang di Majlis Bandar Diraja Klang. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR

SHAH ALAM, 25 April 2017 – Lembaga Zakat Selangor berjaya mengeluarkan seramai 965 keluarga asnaf fakir dan miskin dari kategori asnaf pada tahun 2016.

Daripada jumlah tersebut, 790 keluarga yang menjadi penerima zakat pada tahun 2016 telah keluar daripada kategori asnaf hasil daripada siasatan semasa yang dilaksanakan oleh Zakat Selangor menggunakan garis penentuan fakir dan miskin iaitu had al-kifayah.

Manakala 175 keluarga lagi yang keluar daripada kategori asnaf, merupakan penerima zakat bagi bantuan perniagaan di bawah Program Pembangunan Ekonomi.

LZS_3251

Pada tahun 2016, sebanyak RM6.7 juta telah diagihkan kepada usahawan asnaf fakir dan miskin yang berpontesi dan RM0.3 juta pula kepada usahawan asnaf mualaf. Bantuan yang disalurkan ini meliputi bantuan perniagaan, perikanan, penternakan, pertanian dan projek usahawan berkelompok.

Untuk makluman pada tahun ini, Zakat Selangor mensasarkan sebanyak 220 keluarga berjaya keluar daripada kategori asnaf fakir dan miskin seterusnya menjana pendapatan yang dapat membangunkan ekonomi keluarga mereka.

 

ZAKAT SELANGOR IKTIRAF SUMBANGAN EJEN KUTIPAN DAN PENOLONG AMIL

0

SHAH ALAM, 12 April 2017 – Lembaga Zakat Selangor hari ini mengiktiraf komitmen dan sumbangan ejen kutipan serta penolong amil yang membantu menyebarkan dakwah zakat sekali gus meningkatkan kutipan zakat di Selangor, dalam Majlis Penghargaan Zakat Selangor 2016.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Wisma PKPS di sini.

Pengiktirafan ini khusus untuk mereka terdiri daripada wakil firma audit dan percukaian, ejen syarikat, bank, pejabat pos dan penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT). Turut diraikan, syarikat-syarikat korporat yang merupakan pembayar zakat perniagaan dan majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di Zakat Selangor.

Sebanyak 14 anugerah disampaikan melibatkan Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik dan Anugerah Prestasi Komitmen dan Pengurusan Terbaik bagi tiga kategori iaitu kategori penolong amil IPT/IPIS, ejen perunding dan ejen kemudahan bayaran; Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik bagi tiga kategori iaitu kerajaan, badan berkanun dan swasta; Anugerah Pencapaian Zakat Perniagaan Terbaik (peratus peningkatan terbaik) dan Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik (komitmen terbaik).

Sementara itu, tiga anugerah khas turut disampaikan bagi menghargai komitmen syarikat yang menunaikan zakat di Zakat Selangor, di samping peningkatan prestasi yang ditunjukkan pada tahun 2016.

Anugerah Umar Al-Khattab (Kategori Potongan Gaji) diberikan kepada AirAsia Behad atas pencapaian kombinasi bayaran Skim Potongan Gaji (SPG) dan Pembayaran SPG Individu Tertinggi.

Manakala Koperasi Remisier Bumiputera Berhad merangkul Anugerah Muaz bin Jabal (Kategori Ejen Kutipan) atas prestasi peningkatan kutipan, bilangan pengeluar tertinggi dan komitmen terbaik yang ditunjukkan pada tahun 2016.

Bagi Anugerah Abdul Rahman bin Auf (Kategori Zakat Perniagaan) diberi kepada TriPlac Berhad kerana komited menunaikan zakat di Zakat Selangor di samping penglibatan dalam menguruskan agihan semula 3/8.

Hadir sama, Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

RM1.4 JUTA DISALURKAN UNTUK TABUNG KEBAJIKAN PERUBATAN MALAYSIA

0

SHAH ALAM, 12 April 2017– Lembaga Zakat Selangor hari ini menyalurkan sumbangan zakat sebanyak RM1.4 juta kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di 11 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Penyampaian sumbangan zakat ini disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa sempena Majlis Penghargaan Zakat Selangor 2016 di sini.

Hospital berkenaan ialah, Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM300,000, diikuti dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing menerima sebanyak RM200,000.

Manakala Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Yayasan Institut Jantung Negara menerima sumbangan zakat sebanyak RM150,000, diikuti Hospital Selayang dan Hospital Kajang sebanyak RM100,000. Bagi Hospital Putrajaya, Hospital Rehabilitasi, Cheras, Pusat Perubatan Universiti Teknologi MARA dan Hospital Shah Alam masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM50,000.

Sumbangan kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia telah bermula sejak tahun 2008, bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Hadir sama, Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

Berita Terkini