Status Zakat Syarikat Dormant (Tiada Aktiviti dan Pendapatan)
Status Zakat Syarikat Dormant (Tiada Aktiviti dan Pendapatan)

Soalan: Adakah zakat perniagaan masih wajib dikeluarkan bagi sebuah syarikat perniagaan yang dormant (tidak menjalankan operasi perniagaan dan tiada pendapatan). Ini kerana, masih wujud aset (tunai di bank) bagi syarikat berkenaan dan masih terdapat tanggungan kepada operasi (seperti bil-bil, kos penyelenggaraan dan sebagainya)?

Jawapan: Status dormant tidak menjadi penghalang kepada kewajipan zakat perniagaan bagi syarikat berkenaan, selagi mana syarat-syarat wajib zakat masih ada padanya. Oleh itu, sekiranya harta perniagaannya masih mencapai nisab, maka ia masih lagi tertakluk kepada kewajipan zakat perniagaan.

Dalam kes di atas, syarikat berkenaan masih mempunyai aset tunai di bank dan masih memiliki tanggungan kepada operasi, maka aplikasi taksiran zakat perniagaan hendaklah dilakukan dengan mengambilkira asset semasa yang masih ada dan menolak liabiliti semasa yang masih ada. Jika masih mencapai nisab, maka wajib dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5%.