Soalan: Adakah anak tiri yang sedang belajar di universiti termasuk di bawah tanggungan wajib kepada ayah tirinya dan bolehkah zakat diberi kepadanya?

Jawapan: Berdasarkan pendapat Mazhab Syafii, kewajipan nafkah berlaku kerana tiga sebab, iaitu sama ada kerana kekeluargaan (al-Qarabah), perhambaan (Ar-Riqqah) dan perkahwinan (al-Musoharah). Kewajipan nafkah disebabkan kekeluargaan adalah seperti nafkah ibu bapa kandung kepada anak-anak kandung yang masih kecil dan belum mempunyai pendapatan. Begitu juga kewajipan nafkah anak-anak kandung kepada ibu bapa kandung yang telah tua dan tiada pendapatan.

Oleh itu, dalam isu ini, anak tiri tersebut tidak termasuk pihak yang wajib ditanggung nafkahnya oleh si ayah tiri, kerana tiada hubungan kekeluargaan (al-Qarabah). Maka, ayah tiri itu boleh mengeluarkan zakatnya kepada anak tirinya sebagai asnaf fisabilillah. Namun begitu, jumlah yang boleh diberikan hanya terhad kepada 1/3 sahaja daripada jumlah zakatnya. Manakala, 2/3 lagi hendaklah diserahkan kepada institusi zakat.