SEMINAR KELUARGA SAKINAH UNTUK ASNAF



HULU SELANGOR – Lembaga Zakat Selangor (LZS), telah menganjurkan Seminar Keluarga Sakinah dengan tema ‘Menyemai Cinta Illahi, Bersemi Kasih Abadi’ baru-baru ini. Program berlangsung di Pusat Latihan Asnaf (PLAS), Ulu Yam, Hulu Selangor.

Seminar tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran membina sebuah keluarga yang harmoni. Tuan Haji Ahmad Shafiai bin Uda Jaafar atau lebih dikenali sebagai Pak Utih telah berkongsi ilmu dan pelbagai tips dalam program berkenaan. Hadirin telah diterangkan hakikat sebenar kejadian manusia yang perlu saling hormat-menghormati dalam membina sebuah keluarga.

Seramai 70 orang peserta terdiri daripada penerima bantuan zakat Mukim Batang kali telah menyertai seminar ini. Sehubungan itu, Ketua Operasi Daerah Hulu Selangor, Azhar Yahya Arif bercadang untuk meluaskan lagi program ini di beberapa mukim lain di Hulu Selangor.

LZS yakin, program ini mampu menjadi medium dakwah yang berkesan dalam menyampaikan hasrat dan tujuan LZS untuk melihat pembangunan rohani dan jasmani yang seimbang di kalangan penerima bantuan zakat.

“Umumnya para peserta sangat berpuas hati dengan penganjuran Seminar Keluarga Sakinah yang banyak memberi tips berguna demi membina sebuah keluarga yang bahagia”. Ujar Azhar.

Seminar telah dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar Agihan LZS, Puan Hajjah Adibah Abdul Wahab. Beliau berharap seminar ini mampu menyuntik semangat peserta untuk membina sebuah keluarga yang bahagia dan berazam untuk meningkat kehidupan berkualiti melalui bantuan yang disalurkan oleh LZS.