SHAH ALAM, 6 April 2017 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)  melaksanakan pemindahan fungsi perkhidmatan yang berkaitan dengan pengurusan agihan, bantuan kebajikan dan pendidikan bagi muallaf di Negeri Selangor kepada Lembaga Zakat Selangor berkuatkuasa pada 1 April 2017.

Pemindahan urusan agihan dan bantuan telah direalisasikan dengan pewartaan terhadap pindaan dalam Peraturan-peraturan Pendaftaran, Penjagaan dan Pengajaran Muallaf (Negeri Selangor)(Pindaan) Tahun 2017 dalam warta Kerajaan Negeri Selangor Sel. P.U 10 Jil. 70 No. 6 Tambahan No . 7 Perundangan pada 16 Mac 2017. Pindaan peraturan tersebut selaras dengan pemberian kuasa oleh MAIS kepada LZS bagi menguruskan hal ehwal muallaf di Negeri Selangor.

Pemindahan urusan agihan dan bantuan tersebut bertujuan bagi penyelarasan dan pemusatan fungsi dan aktiviti Sektor Pembangunan Sosial MAIS ke LZS dalam mengatasi permasalahan pertindihan tugas serta menambah baik sistem perkhidmatan pelanggan yang sedia ada terutama kepada asnaf muallaf di Negeri Selangor.

Urusan agihan dan bantuan kepada muallaf yang sebelum ini dikendalikan oleh MAIS di seluruh daerah di Negeri Selangor akan diselaraskan serta diuruskan oleh LZS yang mempunyai 27 cawangan di seluruh Negeri Selangor manakala proses pendaftaran dan pengislaman masih diuruskan oleh MAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah selaras dengan peruntukan didalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.