ZUHAIDA BERSYUKUR TERIMA DAGING KORBAN



KLANG, 5 September 2017- Seorang asnaf fakir, Zuhaida Zakaria, 36 tahun mengucapkan rasa bersyukur di atas pemberian daging korban sempena Program Korban Perdana 2017 Bersama Pembayar Zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor baru-baru ini.

Zuhaida menyara kehidupan dengan berniaga di pasar malam sekitar Kapar bagi menanggung lima orang anaknya yang berusia antara dua hingga 13 tahun selepas suaminya dipenjara. Kehilangan tunggak keluarga yang mencari pendapatan menyebabkan Zuhaida terpaksa berjimat demi menanggung keperluan keluarga. Untuk makluman, keluarga Zuhaida telah disantuni oleh Zakat Selangor melalui bantuan kewangan dan makanan bulanan, bantuan pendidikan dan bantuan Hari Raya.

Menurut Zuhaida ketika ditemui, raya Aidil Adha tahun ini lebih bermakna  buat beliau sekeluarga dengan pemberian daging korban tersebut

Pemberian daging ini adalah antara tujuh ekor lembu yang dikorbankan sumbangan Persatuan Kakitangan Islam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Klang, Triplc Berhad dan Zakat Selangor yang diagihkan kepada 200 orang asnaf fakir dan miskin. Setiap asnaf akan menerima sebanyak dua kilogram bungkusan daging korban. 

Selain sebagai tuntutan ibadah dan meraikan golongan kurang berkemampuan, program ini diadakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara LZS dengan pembayar zakat melalui aktiviti kemasyarakatan terutama melibatkan penerima zakat di Selangor.