ZIKRA: KONGSI PENGALAMAN AGIHAN ZAKAT



SHAH ALAM, 15 April 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan program ZIKRA: Jelajah Kasih Bersama Asnaf 2015 dengan membawa pengeluar zakat terdiri daripada syarikat-syarikat korporat bagi berkongsi pengalaman agihan zakat di Selangor.

Program ini bertujuan memberi pendedahan aktiviti agihan secara langsung kepada pengeluar zakat, di samping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor. Selain itu, ia mampu mendekatkan pengeluar zakat dengan asnaf, selain menyelami realiti kehidupan mereka.

Kali ini, para peserta terdiri daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Jawatankuasa LZS, Jabatan Sumber Strategi dan Teknologi (StaRT), PKNS Holding Berhad, RISDA Baja Sdn Bhd, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Yayasan Warisan Anak Selangor, PBJV Group Sdn Bhd, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Era Whiz ICT Sdn Bhd. Turut menyertai program ini adalah ahli-ahli Kelab Blogger Ben Ashaari.

Dalam program tersebut, para peserta dibawa ke sekitar Klang dan Kuala Langat bagi menziarahi dan melihat aktiviti asnaf LZS yang telah menerima bantuan zakat.

Program bermula dengan kunjungan ke Kompleks Asrama Anak-Anak Asnaf dikenali sebagai Baitul Hasanah yang terletak di Klang. Asrama ini dibina bagi menyediakan prasarana pendidikan kepada anak-anak asnaf dalam kondisi yang lebih baik di samping mengelakkan keciciran dalam pelajaran.

LZS_3409

Kemudian peserta telah dibawa melihat salah satu perusahaan yang dijalankan oleh seorang penerima bantuan modal perniagaan LZS, Siti Salbiah Eksan. Beliau merupakan seorang ibu tunggal yang menerima bantuan perniagaan bagi menjalankan perusahaan jahitan.

LZS_3444

Perjalanan diteruskan ke lokasi penerima bantuan rumah dari LZS, Jali Kadio yang menerima bantuan rumah tiga bilik bernilai RM48,800. Seterusnya, peserta ZIKRA ke Kuala Langat mengunjungi rumah asnaf orang kelainan upaya (OKU), Saharune Abdul Kadir. Beliau yang menjalankan perniagaan sate, menerima bantuan kaki palsu dari LZS sewaktu kunjungan peserta ZIKRA.

 

LZS_3530

Destinasi seterusnya ialah Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor yang dibangunkan hasil daripada manfaat zakat. Di sini para peserta diberi taklimat ringkas oleh Pengurus Besar Agihan LZS, Abdul Basith Hamid berkenaan usaha LZS menyantuni warga emas dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di Selangor. Lokasi terakhir dalam program tersebut ialah Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi, Klang.

Turut sama mengikuti program ZIKRA ini, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Rosely@Mohamed Ross Mohd Din, Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.