ZIKRA: KONGSI PENGALAMAN AGIHAN ZAKAT DI SELANGOR 



SHAH ALAM, 20 Mei 2017 – Lembaga Zakat Selangor sekali lagi menganjurkan program tahunan ZIKRA dengan membawa 25 orang peserta terdiri daripada wakil penolong amil Zakat Selangor bagi berkongsi pengalaman agihan zakat yang dilaksanakan di Selangor.

Program bermula dengan taklimat ringkas dan lawatan ke Kaunter Ibu Pejabat Zakat Selangor. Seterusnya destinasi pertama yang dituju ialah lawatan ke Bait Al-Hasanah. Bait Al-Hasanah merupakan asrama bagi anak-anak fakir dan miskin bertempat di Kampung Perepat, Klang. Di sini para peserta diberi peluang untuk beramah mesra bersama anak-anak asnaf, di samping menyerahkan sumbangan dan bantuan kepada mereka.

IMG-20170531-WA0010

Destinasi berikutnya adalah Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang yang sebelum ini menerima bantuan melalui Program Sekolah Angkat (PROSA) yang telah diperkenalkan pada tahun 2011. PROSA merupakan program bersama di antara Zakat Selangor dan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) dengan memfokuskan pelajar asnaf fakir dan miskin yang menduduki peperiksaan utama. Pada tahun lalu, sebanyak RM2 juta bantuan zakat telah disalurkan kepada 146 buah sekolah terpilih di seluruh Selangor bertujuan untuk kegunaan aktiviti bagi pelajar asnaf termasuklah kelas tambahan, kursus motivasii, kursus teknik menjawab soalan dan kem sahsiah diri.

Seterusnya para peserta dibawa ke kedai makan yang diusahakan sendiri oleh usahawan asnaf Zakat Selangor, Hamidah Mohamad yang terletak di Jalan Masron, Sungai Pinang, Klang. Beliau antara penerima zakat yang menerima bantuan modal perniagaan bagi mengusahakan perniagaannya sekarang. Para peserta begitu teruja dengan bakat dan kemahiran beliau dalam bidang masakan.

Lawatan diakhiri dengan menziarahi pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Untuk makluman HTAR merupakan antara hospital menerima bantuan zakat yang disalurkan kepada Tabung Kebajikan Pesakit Kronik. Bantuan yang disalurkan kepada hospital ini bertujuan untuk meringankan bebanan pesakit yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawaan.

Semoga program dianjurkan kali ini dapat memberi maklumat dan informasi yang tepat kepada kumpulan sasar agar orang ramai dapat membina kepercayaan kepada institusi amil yang telah dilantik.

IMG-20170531-WA0012