ZIKRA KE-8 TINGKAT KEFAHAMAN AGIHAN ZAKAT



SHAH ALAM, 28 JUN 2012- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini sekali lagi menganjurkan program tahunan Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf atau ZIKRA bagi kali ke-8. Program ini mulai dianjurkan LZS pada tahun 2006 dan mendapat sambutan amat positif daripada pihak pembayar dan juga media.

ZIKRA 8.0 kali ini membawa seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan awam, swasta dan ahli kelab Facebook LZS ke lapan lokasi.

Program bermula dengan sesi lawatan ringkas ke kaunter zakat dan kaunter bergerak di Ibu Pejabat LZS, sebelum peserta dibawa melawat ke Pusat Dialisis MAIS dan kedai Dobi Point milik bekas asnaf di Wisma MAIS, Seksyen 3, Shah Alam.

Destinasi berikutnya adalah di Gombak, iaitu ke Pusat Kecantikan dan Spa Al-Khautsar milik bekas asnaf di Prima Seri Gombak, sebelum para peserta dibawa menikmati makan tengah hari di Maria Tomyam, di Gerai MPS, Bandar Seri Gombak iaitu salah seorang asnaf yang baharu sahaja berjaya keluar dari senarai penerima bantuan zakat.

Di Hulu Selangor, peserta dibawa ke Desa Iman, Kuala Kerling, iaitu penempatan mualaf dari kalangan saudara baru orang asli. Peserta ZIKRA 8.0 turut menyampaikan pelbagai sumbangan di sini.

Di Kuala Kubu Bharu, peserta dibawa ke asrama anak-anak asnaf Baitul Hasanah. Selepas itu, mereka dibawa ke Pusat Latihan Asnaf Selangor (PLAS) di Jalan Ulu Yam lama. Di situ, majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YAD Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd. Isa.

Di dalam ucapan penutupnya, beliau melahirkan rasa gembira kerana program seperti ini mampu mendekatkan pihak pembayar dengan LZS, khususnya dalam memahami kehidupan asnaf.

Dua orang wakil peserta, iaitu En. Aznam dan Pn. Rohaizah telah menyampaikan testimoni mereka, bahawa pengalaman sepanjang mengikuti program ini telah membuka mata mereka mengenai bentuk agihan zakat yang sebenar. Mereka juga berminat untuk ikut serta sekali lagi pada masa-masa akan datng jika diberikan peluang.

Pihak penganjur dengan ini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih, khususnya kepada pihak Ibu Pejabat Kontinjen Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Selangor, kerana menyediakan dua orang polis trafik bermotorsikal demi menjamin kelancancaran perjalanan. Juga kepada semua pihak yang telah sudi menjayakan program ini.